Ikan masak singgang ialah satu masakan tradisional yang kurang dikenali generasi muda dan sering dikaitkan dengan lauk makanan orang yang baru melahirkan anak. Resepi singgang serani atau pindang serani ini ada sedikit kelainan daripada masakan singgang atau pindang biasa dari segi bahan-bahannya dikisar dan juga ditumis berbanding cuma direbus sahaja.
Singgang serani lebih popular di bahagian selatan tanahair di negeri Johor dan juga negara jiran Singapura. Lauk ini sesuai dimasak dengan apa-apa jenis ikan besar dan kecil. Resepi ini saya perolehi dari ibu mentua saya dan memang menjadi kegemaran keluarga kami.
Selamat mencuba!
Bahan-bahan untuk Ikan Singgang Serani
500g Ikan
Bahan untuk dikisar
30g (6 ulas) bawang putih
60g (6 biji) bawang merah kecil
15g atau 1.5cm kunyit hidup
10g belacan
10g atau 3 hiris halia
2 batang serai ( dititik )
2 helai daun kunyit
10g atau 0.5cm lengkuas
1 biji lada merah
1 biji lada hijau
1 biji buah tomato
2 keping asam keping
1 sudu kecil pes asam Jawa
1 sudu serbuk perasa ( Jika mahu )
Kaedah
- Kisarkan bawang putih, bawang merah kecil, kunyit hidup, belacan dan halia dalam blender sehingga halus.
- Panaskan sedikit minyak dalam periuk.
- Bila minyak sudah panas masukkan bahan kisar. Tumiskan sehingga bahan kisar garing dan wangi.
- Masukkan serai yang telah dititik ( diketuk ). Jika tidak dititik, bau wangi serai tidak akan dapat dibebaskan dengan sepenuhnya.
- Bila bahan tumisan sudah mula berwarna gelap sedikit, tambah 500ml atau 2 cawan air. Kacau supaya rata.
- Masukkan asam keping bila air sudah mendidih. Diikuti lengkuas, daun kunyit, cili merah dan hijau yang telah dibelah dua.
- Tambahkan 1 sudu kecil garam atau secukup rasa dan 1 sudu kecil gula atau secukup rasa. Funsgi gula bukanlah untuk memaniskan kuah singgang tetapi cuma untuk mengimbangkan rasa masam asam dalam kuah sahaja.
- Masukkan 1 sudu kecil pes asam Jawa. Pastikan pes larut sepenuhnya dalam kuah.
- Besarkan api dan masukkan ikan. Tutup dan renihkan untuk 5-10 minit bergantung kepada jenis dan saiz potongan ikan.
- Masukkan buah tomato yang telah dipotong.
- Ambil sedikit kuah untuk dirasa supaya rasa masam, masin dan pedas seimbang mengikut citarasa anda.
- Jika anda suka, boleh tambah 1 sudu kecil serbuk perisa.
- Ikan singgang siap untuk dihidangkan bersama nasi.