Tahu Tempe Tumis Belacan

Masakan tahu tempe tumis belacan ini adalah satu masakan dari negeri Johor yang semakin kurang dikenali generasi muda. Namanya mungkin berbeza-beza bergantung kepada tempat tetapi dipercayai berasaskan masakan tempe sambal godok tempe tahu masyarakat Jawa Johor. Masakan ini lebih dikenali di daerah Muar, Batu Pahat dan juga di Singapura. Resepi asanya saya pelajari dari ibu mentua saya yang berasal dari Muar, Johor.

Resepi ini mengandungi sayuran pahit seperti peria dan petai , tetapi jika anda bukan penggemar peria dan petai , kedua-dua bahan ini boleh ditinggalkan. Gunakan tempe yang dibalut dengan daun dan elakkan tempe yang dibalut dengan plastik kerana rasa tempe asli yang dibalut daun jauh lebih sedap.

Antara bahan perasa yang istimewa dalam resepi ini ialah campuran belacan dan asam Jawa. Kedua-duanya perlu dicampurkan dan dilarutkan dengan sedikit air sebelum tambah ke dalam kuah. Masukkan sedikit-sedikit supaya imbangan rasa masam, manis, masin, pahit dan pedas dapat diimbangkan dengan baik.

Masakan ini sesuai dimakan dengan nasi putih sebagai lauk tambahan. Selamat mencuba!

Bahan-bahan

4 keping tahu (200g)
4 keping tempe (240g)
3cm halia
2 biji bawang merah kecil (50g)
7 ulas bawang putih (70g)
5 biji cili hijau (100g)
15g belacan
150g udang
150g peria
100g petai
500ml Santan pekat atau santan peket
2 sudu kecil pes asam Jawa
1 sudu kecil garam / secukup rasa
1 sudu kecil serbuk perasa ( Jika mahu )
2 sudu kecil gula / secukup rasa

Kaedah

  1. Potong setiap keping tahu kepada 4 bahagian, goreng sehingga kuning keemasan dan ketepikan.
  2. Potong tempe menjadi kepingan-kepingan kecil setebal 1cm.
  3. Hiris bawang merah kecil, bawang putih, cili hijau dan halia untuk ditumis.
  4. Panaskan sedikit minyak dan tumis bawang merah kecil, bawang putih dan halia.
  5. Masukkan udang yang telah dipotong setelah bawang mula menjadi warna kuning. Jika tidak mahu udang terlebih masak, boleh keluarkan dahulu udang untuk ditambah kemudian.
  6. Masukkan cili hijau, petai dan peria. Gaulkan rata.
  7. Kemudian masukkan tempe dan gaulkan supaya sekata.
  8. Tambah 250ml atau 1 cawan santan segar pekat atau santan peket.
  9. Sekiranya ada kerak-kerak berwarna perang di bahagian bawah kuali, larutkan dengan santan kerana kerak-kerak ini penuh dengan perisa yang lazat.
  10. Tambah 250ml atau 1 cawan lagi santan segar pekat atau santan peket.
  11. Bila santan mula mendidih, masukkan tahu yang telah digoreng.
  12. Campurkan belacan dengan 2 sudu pes asam jawa dan larutkan dengan sedikit air .Masukkan 4 sudu besar campuran air asam jawa dan belacan. Kalau tak cukup masam boleh tambah lagi.
  13. Tambahkan 1 sudu kecil garam, 1 sudu kecil serbuk perasa jika mahu dan 2 sudu kecil gula atau secukup rasa. Imbangan masin, manis, masam dan pedas sangat penting dalam masakan ini.
  14. Jika kuah terlalu pekat, boleh tambah sedikit air untuk cairkan kuah, tetapi jangan terlebih air kerana kuah masakan ini seharusnya pekat sedikit.
  15. Renihkan perlahan-lahan untuk 6-8 minit atau sehingga pecah minyak.
  16. Tahu tempe tumis belacan siap untuk dihidangkan.
Untuk langkah-langkah yang lebih jelas sila rujuk video di atas

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *