Resepi Sup Kambing Mamak – Mutton Soup ini satu hidangan yang sangat popular di kalangan rakyat Malaysia dan juga Singapura. Dalam resepi sup kambing mamak pekat ini saya juga akan kongsikan satu rahsia masak sup yang menggunakan bahan yang biasanya digunakan untuk membuat kuih atau manisan.
Sup yang dijual dikedai mamak biasanya dimasak untuk jangkamasa yang agak panjang sekitar 4-6 jam. Waktu masakan yang lama ini yang memberikan rasa unik sup mamak yang digemari ramai. Apa yang berlaku ialah gelatin dan tulang lembu akan larut ke dalam sup untuk memberikan rasa sup yang sedap dan pekat.
Proses ini memerlukan tulang yang banyak sekurang-kurangnya 10kg dan tidak sesuai untuk masakan dirumah, oleh itu kita boleh gunakan serbuk gelatin yang biasanya dijual di kedai bahan membuat kek. Ada banyak jenama tempatan yang menghasilkan gelatin halal yang sesuai untuk resepi ini.
Bahan-bahan
1kg daging kambing
250g Bawang besar ( 1 biji)
60g bawang putih (60g)
3 biji lada hijau
3cm halia dihiris
1.5cm lengkuas dihiris
2 akar daun ketumbar
2 batang serai
30g (2 sudu besar) lada putih
30g ( 2 sudu besar) lada hitam
10g ( 1 sudu kecil) biji sawi
15g ( 1 sudu besar) serbuk kunyit
5g ( 1/2 sudu kecil) halba
1 batang kayu manis
1 helai daun salam
1 kuntum bunga lawang
5 kuntum bunga cengkih
3 biji buah pelaga
25g rempah sup Faiza
2 kiub pati lembu
30ml atau 2 sudu besar santan
2 sudu besar serbuk gelatin halal
Sedikit daun sup, hirisan cili merah dan bawang goreng untuk hiasan.
Kaedah
- Kisarkan bawang, bawang putih, halia, lengkuas, akar ketumbar dan cili hijau dengan sedikit air dalam blender. Kisarkan sehingga halus.
- Panaskan sedikit minyak dan tumis biji sawi, halba, kayu manis, bunga lawang
, cengkih dan buah pelaga. Tumis sehingga wangi dan masukkan pes yang kita kisar tadi. - Tambah serbuk rempah sup, serbuk kunyit dan goreng sehingga garing. Jika terlalu kering tambahkan sedikit air.
- Bila sudah garing dan berwana perang, padamkan api dan kita tambahkan sedikit air batu untuk sejukkan pes perapan.
- Kita kena pastikan pes kita tidak panas bila kita campurkan dengan daging kerana ini boleh menyebabkan daging menjadi rosak dan busuk. Bakteria boleh membiak semasa kita perap daging mentah jika pes masih panas. Kalau tak mahu guna ais boleh biarkan sejuk dan tambah air.
- Masukkan pes perapan ke daging kambing dan gaulkan sehingga rata dan setiap permukaan daging disalut. Daging perlu diperap selama sekurang-kurangnya 2 jam , jika boleh perap di dalam peti sejuk semalaman dan untuk dimasak pada hari esok. Ini akan memberikan hasil yang terbaik.
- Setelah diperap, panaskan sedikit minyak dalam periuk dam masukkan daging kambing.
- Tambahkan 2 kiub pati lembu yang dilarutkan dalam satu cawan air panas dan tambah lagi 6 cawan air.Kacau supaya rata.
- Titikkan 2 batang serai dan masukkan ke dalam periuk. Kemudian, tambah 1 daun salam, 2 sudu besar lada serbuk lada putih yang baru dikisar dan 2 sudu besar lada hitam yang dikisar atau ditumbuk.
- Besarkan api sehingga mendidih dan kemudian renihkan untuk 1.5 hingga 2 jam bergantung kepada daging yang kita gunakan
- Tambah 2 sudu besar santan pekat atau santan peket.Tambahkan juga garam atau lada putih jika perlu
- Untuk menambahkan lagi perisa sup kita supaya akan rasa seperti di gerai atau direstoran yang biasanya masak sup mereka 4-6 jam kita gunakan satu bahan yang biasanya digunakan untuk membuat kuih iaitu, serbuk gelatin. Boleh didapati dikedai bahan kek. Masukkan 2 sudu besar serbuk gelatin ke dalam air panas untuk 4 minit dan tambahkan kesup.
- Kacau dan renihkan untuk 10 minit lagi.
- Hiaskan Sup Kambing Mamak – Mutton Soup dengan daun sup dan bawang goreng sebelum dihidangkan.