Sup Bawang Perancis- French Onion Soup

Sup Bawang Perancis atau French Onion Soup Sup dibuat dengan bawang holland yang dimasak perlahan-lahan sehingga lembut dan pada saya antara sup masakan barat yang paling sedap, jika masak dengan cara yang betul. Rahsia sup bawang atau French Onion Soup yang sedap ialah bawang yang dimasak lama dan dengan api yang perlahan sehingga bawang menjadi perang , masin dan penuh perisa.

Bahan-Bahan ( 6 hidangan )

1kg Bawang Holland dihiris kasar         

2 ulas bawang putih dicincang

50ml Minyak Zaitun

1 ½ sudu kecil garam

20g Mentega ( 1 sudu besar )

3 kiub pati lembu

2 liter air

1 helai daun salam

2 sudu besar sos Lea & Perrins

1 sudu besar kicap manis

½ sudu kecil Italian herbs

1 sudu kecil lada hitam

200g keju ( Cheddar dan Mozzarella )

1 keping roti ( untuk setiap hidangan )

Kaedah

  1. Hiriskan bawang menjadi kepingan bersaiz sederhana, jangan terlalu nipis kerana bawang akan dimasak untuk masa yang lama.
  2. Panaskan sedikit minyak dapam periuk, lebih kurang 50ml. Bila dah panas masukkan kesemua bawang yang telah dihiris tadi.
  3. Tambah 1 sudu kecil garam untuk mempercepatkan proses masak. Garam akan menarik keluar air dari bawang dengan lebih cepat.
  4. Bila bawang mula layu dan berwarna kuning, tambah 1 sudu besar mentega. Gaulkan supaya mentega cair sepenuhnya.
  5. Bawang akan mula bertukar menjadi warna perang muda dan kemudian perang. Ini akan memakan masa 30-40 minit. Gunakan api yang kecil supaya bawang tidak hangus.
  6. Tambah 2 ulas bawang putih yang dicincang halus. Tumis untuk 1-2 minit.
  7. Sekarang kita tambah 3 kiub pati lembu yang dilarutkan dalam 250ml (1 cawan ) air panas dan gaulkan.
  8. Ambil kesempatan ini untuk melarutkan semua kerak-kerak yang tertinggal.
  9. Tambah 1750ml atau 7 cawan air lagi dan besarkan api sehingga mendidih.
  10. Kecilkan api dan tambah: 1 daun salam, 2 sudu besar sos Lea & Perrins dan 1 Sudu besar kicap manis.
  11. Tambah 1/2 sudu kecil italian herbs dan 1 sudu kecil lada hitam. Lebih pun tak apa, ikut selera masing-masing.
  12. Akhir sekali 1/2 sudu kecil garam atau secukup rasa. Sup dah siap untuk dihidangkan.
  13. Biasanya sup bawang atau onion soup dihidangkan dengan roti bakar berkeju. Ambil sekeping roti sandwic dan gunakan bekas hidangan sup atau ramekin untuk terapkan bentuk bulat penutup roti. Ceraikan bahagain tepi yang berlebihan.
  14. Isikan bekas sehingga hampir penuh seperti ini, dan tutupkan dengan kepingan roti. Letakan satu lapisan keju yang diparut.
  15. Bakar dalam ketuhar panas 250C sehingga keju menjadi cair.
  16. Taburkan sedikit herba segar jika anda suka, kucai, daun bawang, sage atau parsley.
Untuk langkah-langkah yang lebih jelas boleh rujuk video di atas.

 

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *