Resepi Spaghetti Carbonara Homemade bukanlah satu resepi yang susah. Di sini saya kongsikan resepi 100% homemade tanpa menggunakan sos dalam tin dengan menggunakan bahan-bahan asas yang mudah seperti bawang putih, cendawan, susu , krim dan cheese.
Resepi Spaghetti Carbonara Homemade ini kegemaran kanak-kanak dan mengandungi daging burger dan sosej, tapi boleh diubah suai mengikut selera masing-masing.
Selamat Mencuba!
Bahan-Bahan
250g spaghetti ( 1/2 peket)
5 Ulas bawang putih dicincang
300g campuran cendawan butang putih dan perang
2 keping burger Ramly dipotong kecil
3 batang sosej ayam/daging Ramly
2 sudu besar garam untuk merebus spaghetti
2 sudu besar minyak zaitun
750ml susu segar ( 3 cawan)
250ml whipping cream ( 1 cawan)
2 keping keju singles
30g keju parmesan diparut
1 sudu teh tepung jagung
1/2 sudu kecil lada hitam atau secukup rasa
10g daun parsley dicincang
Kaedah
- Didihkan 5-6 liter air yang telah ditambah 2 sudu besar garam. Air yang banyak akan mengelakkan spaghetti daripada melekat.
- Masukkan 250g ( 1/2 paket spaghetti ) dan masak sehingga 90% masak atau al dente Tkerana kita akan masak spaghetti sekali lagi dengan sos carbonara.
- Toskan dan ketepikan spaghetti.
- Panaskan 2 sudu besar minyak zaitun dalam kuali. Goreng cendawan sehingga garing dengan api yang sederhana. Tujuan kita ialah untuk mengeringkan cendawan dan meningkatkan perisa cendawan dalam sos.
- Bila cendawan dah kering dan berwarna perang, keluarkan dan ketepikan.
- Tanpa membersihkan kuali atau menambah minyak, masukkan kepinga burger yang telah dipotong. Goreng sehingga garing.
- Tambah bawang puting yang telah dicincang dan goreng sehingga berwarna kuning.
- Masukkan hirisan daging sosej dan goreng untuk 1-2 minit dan tambah 1 cawan susu segar. Kacau supaya rata.
- Tambah 1 cawan susu segar dan masukkan cendawan yang telah digoreng. Kacau supaya sebati dan tambag 1 lagi cawan susu segar.
- Masukkan 1 cawan whipping cream. Kalau tak ada whipping cream boleh gantikan dengan susu cair.
- Masukkan 2 keping keju singles dan kacau sehingga keju cair sepenuhnya. Kalau whipping cream digantikan dengan susu cair , tambah 1 keping keju singles.
- Masukkan 30g keju parmesan yang diparut halus. Kacau sehingga keju larut. Kalau tidak ada keju parmesan boleh gantikan dengan 1 lagi keping keju.
- Renihkan sos untuk 5-8 minit.
- Larutkan 1 sudu teh tepung jagung untuk membuat pemekat sos. Tambahkan larutan tepung jagung ke sos carbonara dan kacau perlahan-lahan.
- Bila sos dah mula memekat, tambahkan sedikit lada hitam dan taburkan sedikit daun parsley segar. Sos carbonara siap untuk dihidangkan dengan spaghetti.
- Panaskan sedikit air dalam kuali dan masukkan spaghetti. Kita cuma nak melembutkan kembali spaghetti sebelum dicampurkan dengan sos carbonara.
- Tanmbahkan sos carbonara mengikut selera masing-masing dan hidangkan dengan segera.