Sotong Masak Hitam

Resepi Sotong Masak Hitam Johor

Sotong masak hitam ialah satu masakan istimewa dari negeri Johor yang kurang dikenali ramai. Rupanya agak luar biasa disebabkan warnanya yang hitam tetapi ia sangat lazat dan mudah untuk disediakan. Resepi ini berasaskan resepi dari ibu mentua saya dan memang menjadi kegemaran keluarga kami.

Bahan-bahan tumisan dalam resepi sotong masak hitam ini dikisar untuk mendapatkan kuah yang gelap dan pekat. Apabila bahan tumisan dikisar, dakwat sotong lebih mudah menyerap dan sebati. Dakwat sotong juga mengandungi bahan perisa semulajadi yang akan menambahkan rasa masakan ini.

Rahsia masak sotong atau apa-apa makanan laut ialah jangan masak terlalu lama, hentikan proses memasak sebelum sotong masak sepenuhnya kerana sotong akan terus memasak walaupun api telah dipadam dan dikeluarkan dari periuk. Protein dalam sotong sangat cepat bertindakbalas dengan haba dan akan mengecut dan mengeluarkan air dan apabila air dari sotong ini keluar, sotong akan menjadi keras dan liat.

Bahan-bahan

500g sotong diasingkan kantung dakwat
40g ( 2 sudu besar) cili kisar
1 batang serai dititik
garam secukup rasa
gula secukup rasa
1/2 sudu kecil pes asam jawa
1/2 sudu kecil serbuk perasa

Untuk dikisar

1cm halia
75g (5 biji) bawang merah kecil
10g belacan
1cm kunyit hidup / 1/2 sudu kecil serbuk kunyit
50g (5 ulas) bawang putih

Kaedah

  1. Kisarkan bahan tumisan yang perlu dikisar.
  2. Panaskan sedikit minyak dan tumiskan campuran bahan kisar dan cili kisar.
  3. Gaulkan rata dan tambah serai yang telah dititik.
  4. Bila bahan tumisan sudah garing dan kering, masukkan sotong dan kantung dakwat sotong. Gaulkan supaya rata.
  5. Tambahkan 2 sudu besar air supaya warna dakwat sotong diratakan didalam kuah. Gaulkan dan tambah sedikit lagi air tetapi jangan terlalu banyak kerana kuah perlu pekat.
  6. Tambah garam, gula secukup rasa dan 1/2 sudu kecil pes asam Jawa. Jangan tambah asam Jawa terlalu awal kerana asid dalam asam Jawa akan membuatkan sotong menjadi liat.
  7. Boleh juga tambah sedikit serbuk perasa jika anda suka.
  8. Jangan masak sotong terlalu lama, padamkan api sebelum sotong masak sepenuhnya kerana sotong akan terus masak walaupun api telah dipadamkan.
  9. Masakan ini seeloknya dihidangkan dengan segera selepas dimasak.
  10. Hidangkan dengan hiasan cili potong dan daun sup
Untuk langkah-langkah yang lebih jelas boleh rujuk video di atas

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *