Sosej Goreng Berlada

Sosej ayam ataupun daging kini sudah menjadi makanan kegemaran ramai di Malaysia sama ada sebagai makanan kudapan ataupun dimasak sebagai lauk tambahan. Terdapat pelbagai jenama dan jenis sosej dipasaran untuk setiap citarasa. Di antara sosej yang paling popular adalah sosej jenis Frankurter yang berasal dari Frankfurt, Jerman. Sosej jenis ini dibuat daripada daging kisar berempah yang separuh masak. Sosej Frankfurter tempatan telah diubahsuai mengikit citarasa Malaysia dan agak berbeza dengan yang asli dari Jerman.

Resepi sosej goreng berlada yang saya kongsikan ini adalah diilhamkan dari satu hidangan sosej yang dihidangkan di kelab-kelab golf dan rumah rehat pada tahun 1980an dan ramai dari generasi ini akan mengenali masakan ini. Ianya pada asasnya cumalah sosej yang digoreng dengan bawang, lada dan sos tomato atau cili.

Rahsia sosej goreng berlada yang baik ialah gunakan sosej yang berkualiti dan pastikan bawang dimasak sehingga berwarna gelap dan layu. Ini akan memberikan hasil yang terbaik.

Bahan-bahan

400g (8 batang) sosej
300g (1 biji) bawang Holland dihiris kasar
200g (1 biji) lada Benggala dipotong kecil
20g (2 ulas) bawang putih dicincang
2 biji cili merah dihiris
3 sudu besar sos tomato/cili
2 sudu besar kicap manis
1/2 sudu kecil lada putih Aji-Shio
Sedikit daun bawang

Kaedah

  1. Panaskan sedikit minyak di dalam kuali untuk menumis. Bila minyak sudah panas, masukkan bawang holland.
  2. Tambahkan 1/2 sudu kecil garam untuk mempercepatkan bawang masak. Garam akan menarik air keluar dari bawang supaya lebih cepat garing.
  3. Gunakan api yang sederhana supaya, bawang tidak hangus. Bawang akan mengambil masa 8-10 minit untuk menjadi layu jadi kita perlu bersabar. Kesilapan yang sering dilakukan ialah tidak memastikan bawang cukup masak.
  4. Bila bawang sudah mula kelihatan kekuningan, masukkan bawang putih.
  5. Masukkan cili merah yang telah dihiris, jika suka lebih pedas bolah gunakan cili padi.
  6. Tambah lada benggala kuning.
  7. Tambahkan sosej yang telah dipotong tadi dan gaulkan rata.
  8. Masukkan 3 sudu besar sos tomato, kalau nak lebih pedas boleh gantikan dengan sos cili.
  9. Tambah 2 sudu besar kicap manis dan 1/2 sudu kecil serbuk lada putih Aji-Shio
  10. Akhir sekali, tambah sedikit daun bawang.
  11. Gaulkan rata dan hidangkan dengan segera.
Untuk langkah-langkah yang lebih jelas boleh rujuk video di atas

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *