Kari Kepala Ikan – Cara Mudah dan Cepat!

Kari Kepala Ikan, satu hidangan kedai Mamak yang popular di kalangan rakyat Malaysia . Hidangan ini menampilkan campuran rempah, santan dan ikan segar, untuk menghasilkan hidangan yang lazat dan menyelerakan.

Beberapa petua memasak yang perlu diingat semasa membuat Kari Kepala Ikan:

  • Gunakan ikan segar untuk rasa dan hasil yang terbaik.
  • Anda boleh mengawal tahap kepedasan dengan menggunakan mengurangkan cili kering atau membuang bijinya.
  • Masak adunan pes dengan api yang perlahan untuk mengelakkan bawang hangus.
  • Menyimpan kari semalaman dalam peti sejuk sehari sebelum dihidangkan membolehkan rempah menjadi lebih mesra dan kari lebih sedap.
  • Untuk menjadikan kuah kari lebih pekat atau cair, tambah atau kurangkan air.

Kari Kepala Ikan ini adalah hidangan lazat dan berperisa yang pasti menarik perhatian tetamu anda. Hidangkan bersama nasi putih atau roti canai untuk hidangan yang lengkap dan mengenyangkan.

Bahan-bahan

700g kepala ikan merah (atau ikan kegemaran anda)
5 ulas bawang putih
1 inci halia
2 biji bawang merah (dihiris)
2 paket kecil rempah kari ikan (50g setiap satu)
2 sudu besar halba campuran (terdiri daripada biji sawi, biji halba dan jintan putih)
3 tangkai daun kari
5 biji cili kering
1 biji tomato (potong 4)
1 biji cili merah (potong 2)
5 batang bendi
1/2 cawan santan pekat segar
2 sudu kecil pes asam jawa
1 sudu kecil kunyit
2 cawan air (500ml)
2 sudu kecil garam (atau secukup rasa)
1 sudu kecil serbuk perasa (pilihan)
1 1/2 sudu besar gula
Minyak untuk menggoreng
Daun ketumbar segar untuk hiasan

Untuk langkah yang lebih jelas boleh rujuk video ini

Kaedah

  1. Tumbuk atau kisar bawang putih dan halia.
  2. Panaskan sedikit minyak dalam kuali dan masukkan hirisan bawang merah. Masak sehingga bawang mula kelihatan garing dan kuning di tepi.
  3. Masukkan bawang putih dan halia yang dikisar/tumbuk, halba campur, daun kari, dan cili kering ke dalam kuali. Kacau sehingga semuanya sebati dan tumis selama 2-3 minit.
  4. Tambah 1 sudu kecil kunyit dan 2 peket (50gx2) rempah kari ikan ke dalam kuali dan dan masak 1-2 minit.
  5. Masukkan 1 cawan air (250ml) ke dalam kuali dan gaul hingga menjadi pes. Masak sehingga pes menjadi pekat.
  6. Masukkan santan, 2 cawan air (500ml), dan pes asam jawa. Kacau untuk larutkan pes asam jawa.
  7. Apabila kuah mula mendidih, masukkan kepala ikan. Jika kuah terlalu pekat, masukkan sedikit air.
  8. Tuangkan kuah ke atas kepala ikan semasa bahagian bawah masak dan kemudian tutup kuali. Reneh selama 5 minit.
  9. Terbalikkan kepala ikan dan masukkan 1 1/2 sudu besar gula, bendi, hirisan tomato, dan cili merah. Reneh dengan api perlahan selama 10 minit.
  10. Hiaskan dengan daun ketumbar dan hidangkan panas-panas bersama roti canai.

Nota: Untuk kuah kari yang lebih sedap, biarkan semalaman supaya rempah lebih mesra.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *