Pancake ini adalah hasil lebih 5 tahun saya mencuba mendapatkan pancake yang lembut dan gebu seperti hotcakes McDonald’s. Anak-anak saya memang meminati hidangan ini untuk sarapan pagi bersama sirap maple.
Kebanyakkan resepi yang sedia ada menggunakan mentega dalam adunan pancake tetapi saya dapati menggunakan lemak cair 100% seperti minyak masak memberikan hasil yang terbaik. Mentega cuma digunakan sebagai topping.
Keduanya, buttermilk juga akan memberikan pancake yang lebih gebu dan lembut berbanding susu segar biasa. Buttermilk agak sukar diperolehi di kedai dan pasaraya biasa jadi kita boleh buat sendiri dengan menggunakan susu dan jus lemon. Ketiganya, untuk mendapatkan pancake yang licin, jangan gunakan sebarang minyak semasa menggoreng, sebaliknya gunakan kuali non-stick.
Pancake sebenarnya sangat mudah disediakan dan boleh dipadankan dengan bermacam-macam topping seperti sirap maple, mentega, hirisan pisang, buah-buahan segar, jem, sos coklat atau Nutella dan bermacam-macam lagi.
Bahan-Bahan
120g ( 1 cawan )tepung gandum
20g ( 2 sudu kecil ) gula
5g ( 1/2 sudu kecil ) garam
10g (1 sudu kecil ) baking powder
250ml ( 1 cawan ) susu segar
30ml ( 2 sudu besar ) jus lemon
1 biji telur
62.5ml (1/4 cawan) minyak masak
10ml ( 1 sudu kecil) esen vanilla
Hirisan pisang dan mentega
Kaedah
- Masukkan tepung gandum biasa ke dalam bekas yang sesuai , kalau nak lebih lembut boleh guna tepung kek.
- Tambah sudu teh gula ( 20g ), 1/2 sudu teh garam ( 5g) dan 1 sudu teh baking powder (10g). Gaulkan supaya rata dan gunakan pemukul telur jika ada. Kalau bahan-bahan tidak bercampur dengan rata, pancake tidak akan naik dengan sekata dan kurang gebu. Campurkan SEBELUM menambah bahan basah, susah nak ratakan kalau dah bercampur bahan basah.
- Rahsia pancake lembut ialah buttermilk, kita akan buat sendiri dengan mencampurkan 2 sudu besar jus lemon kepada 1 cawan (250ml) susu segar. Masukkan sedikit-sedikit dan kacau sehingga susu menjadi pekat sedikit seperti ini. Jus lemon juga akan memberikan perisa yang istimewa kepada pancake.
- Tambahkan buttermilk atau campuran susu dan jus lemon kita kepada bahan kering.
- Masukkan 1 biji telur dan 1/4 cawan minyak masak ( 62.5ml. Gaulkan tapi sekadar bahan-bahan bercampur kalau masih berketul pun tak apa. Biarkan 2-3 minit.
- Bila dah mula berbuih, tambah 1 sudu kecil perasa vanilla, dan gaulkan dengan perlahan. Biarkan untuk rehat selama 8-10 minit, untuk tepung menyerap bahan-bahan basah dan baking powder bertindak.
- Bila dah berbuih semula seperti ini, pancake sedia untuk di masak.
- Untuk masak pancake, gunakan kuali non-stick untuk hasil yang terbaik iaitu permukaan pancake yang cantuk dan berwarna sekata. Rahsianya ialah gunakan api yang kecil kerana kita mahu pancake masak perlahan-lahan. Jika api terlalu besar, pancake akan cepat hangus sebelum bahagian dalam masak.
- Perhatikan gelumbung akan mula kelihatan pada bahagian tepi, kemudian di seluruh permukaan pancake. Ini tanda baking powder kita bertindak dengan baik. Perhatikan bahagian bawah supaya tidak terlalu gelap.
- Bila , bahagian tepi dah mula mengeras, dah tiba masanya untuk kita balikkan pancake. Permukaan pancake sepatutnya berwarma kuning keemasan dan licin.
- Masak untuk lebih kurang 1 minit lagi dan ulang untuk pancake seterus nya. Cuba dapatkan saiz pancake yang lebih kurang saiznya supaya cantik bila disusun.
- Untuk elakkan bahagian bawah pancake leman selepas dimasak , letakkan pada cooling rack atau jaring.
- Pancake kita dah siap untuk dihidangkan dengan sedikit mentaga, potongan pisang dan sirap maple.