Nasi Arab Kambing Mendi

Nasi Arab Kambing Mendi versi Nasser’s Kitchen

Nasi Mendi yang asli sukar untuk disediakan di rumah kerana dimasak dalam tanah dengan arang. Resepi ini telah diolah supaya lebih sesuai dimasak dirumah. Resepi Nasi Arab Kambing Mendi ini bukanlah versi yang 100% asli tetapi telah dipermudahkan dan disesuaikan untuk citarasa tempatan.

Nasi Mendi ada beberapa elemen perisa yang asas seperti koma-koma atau Saffron, Lemon, Ketumbar dan yang paling unik rasa ‘berasap’ atau ‘smoky’ kerana secara tradisi dimasak dalam tanah dengan menggunakan arang. Resepi ini tidak memerlukan rempah Mendi yang khas tetapi dibuat dengan menambah beberapa bahan kepada serbuk rempah Kurma yang mudah dibeli di pasaran. Kebanyakkan bahan-bahan dalam rempah mendi sudah ada di dalam rempah kurma seperti ketumbar, jintan, buah pelaga, kayu manis, cengkih dan lain-lain.

Resepi ini terbahagi kepada 3 bahagian, merebus daging kambing, memasak nasi Mendi dan membakar daging. Memasak nasi arab kambing Mendi tidaklah sukar tetapi memerlukan persediaan.

Bahan-Bahan

Daging Kambing Bakar

Bahan kisar
4 biji bawang merah
5 ulas bawang putih

2kg Daging Kambing
3 biji cili hijau
6 ulas bawang putih
Sedikit kayu manis
10 kuntum bunga cengkih
10 biji buah pelaga
1 inci halia.
6 sudu besar rempah kurma
2 sudu besar jintan manis
1 sudu besar serbuk lada hitam kasar
1 sudu kecil serbuk lada putih Aji Shio
1 sudu kecil serbuk kunyit
4 sudu kecil garam / secukup rasa
1g koma-koma atau saffron
3 helai daun salam
1500ml air

Nasi Arab Mendi

4 cawan sukatan rice cooker beras Basmathi
2 batang cili hijau
2 batang cili padi hijau
1 biji bawang holland
6 ulas bawang putih
3 helai daun salam
1 kiub pati lembu ( jika suka ).
Parutan kulit 1 biji lemon
Sedikit kismis
1 g Koma-koma atau Saffron. Kalau tak ada, boleh gantikan dengan pewarna kuning.
1 1/2 sudu besar jintan manis
3 sudu besar rempah kurma
1 sudu besar serbuk lada hitam
2 sudu kecil garam / secukup rasa
1 sudu kecil smoke flavour

Kaedah

Untuk langkah-langkah yang lebih jelas boleh rujuk video di atas
  1. Panaskan minyak dan tumis bahan kisar (bawang merah dan bawang putih)
  2. Daging kambing dimasak dahulu kerana sedikit air rebusan kambing akan digunakan untuk masak nasi Arab Kambing Mendi.
  3. Bila bahan kisar sudah wangi, kita masukkan kayu manis, cengkih, buah pelaga dan halia.Tumis untuk 1-2 minit.
  4. Masukkan rempah kurma. Dan gaulkan sebati. Kalau terlalu kering tambahkan sedikit air supaya rempah tidak hangus dan lebih mudah disebatikan. Tumis untuk 2-3 minit lagi.
  5. Masukkan Jintan Manis. Lada hitam kasar , dan lada putih Aji Shio.
  6. Tambah sedikit air lagi dan gaulkan sebati.
  7. Sekarang masukkan daging kambing. Gaulkan supaya setiap permukaan daging disalut dengan campuran rempah.
  8. Masukkan bawang putih, Cili hijau dan cili padi hijau. Masak untuk 2-3 minit lagi.
  9. Sekarang kita tambah 1500ml air atau 5 cawan air. Gaulkan supaya rempah larut sepenuhnya di dalam air. Daging boleh dimasak di dalam periuk tetapi untuk menjimatkan masa , boleh dimasak di dalam pressure cooker.
  10. Pindahkan daging dan juga air rebusan kedalam pressure cooker.
  11. Tambah 1 sudu kecil serbuk kunyit, sedikit koma-koma. Kalau tak ada koma-koma boleh gunakan pewarna kuning.
  12. 4 sudu kecil garam atau secukup rasa. Tutupkan dan masak mengikut peraturan atau setting pressure cooker anda. Biasanya akan mengambil masa 40-50 minit.
  13. Ketepikan dahulu sementara kita sediakan nasi mendi.
  14. Untuk 2 kila daging kita akan masak 4 cawan sukatan periuk nasi beras basmati.
  15. Cuci beras dengan air sehingga air menjadi jernih.
  16. Bila air sudah kelihatan jernih, tambah air dan rendamkan untuk 30 min sehingga 1 jam.
  17. Panaskan 1 sudu besar mintak masak. Tambah 2 sudu besar minyak sapi.
  18. Bila minyak sapi sudah cair dan panas, masukkan bawang holland.
  19. Masukkan bawang putih bila bawang holland mula layu. Tumis dengan api sederhana untuk 1 – 2 minit.
  20. Masukkan cili hijau dan cili padi.
  21. Diikuti jintan manis, lada hitam dan rempah kurma. Gaulkan sehingga sebati.
  22. Larutkan 1/2 cawan air rebusan daging kambing dengan 1 kiub pati lembu dan tambahkan ke bahan tumisan. Kalau tak mahu guna kiub pati boleh tinggalkan.
  23. Gaulkan sehingga menjadi pes. Bila sudah pekat seperti ini tambah hirisan halia dan ketepikan dahulu.
  24. Buangkan air rendam beras. Masukkan pes tumisan kedalam periuk nasi.
  25. Tambahkan air sehingga ke aras 6 cawan. Masukkan daun salam. Kismis. 2 sudu kecil garam atau secukup rasa.
  26. Pindahkan periuk ke rice cooker. Tambahkan sedikit koma-koma. Simpan sedikit kerana kita akan tambah lagi selepas nasi masak.
  27. Tambahkan parutan kulit limau. Tutupkan dan masak seperti biasa.
  28. Setelah dimasak, campurkan sedikit air pada baki koma-koma atau saffron dan tuangkan ke nasi. Saffron akan memberikan aroma yang istimewa kepada nasi kita.
  29. Untuk memberikan perisa Mendi yang sebenar, kita akan gunakan 1 sudu teh smoke flavour atau liquid smoke.
  30. Tutupkan dan biarkan ‘keep warm’ untuk 10 minit lagi supaya dapat koma-koma dan smoke flavor dapat meresap.
  31. Daging yang kita masak tadi, sapukan dengan larutan 1 sudu kecil smoke flavor dan 3 sudu besar air. Letakkan sedikit parutan kulit lemon. Dan bakar dalam oven 220C untuk 5-10 minit.
  32. Nasi Arab Mendi Kambing versi Nasser’s Kitchen siap untuk dihidangkan dengan daging kambing bakar, salad dan soup.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *