Resepi Mee Hoon Goreng Kicap
Resepi mee hoon goreng ini sangat mudah dan cepat untuk disediakan dan menjadi salah satu masakan mee kegemaran keluarga saya. Resepi ini menggunakan 4 jenis sos atau kicap untuk penyediaan kuahnya tetapi kesemua bahan-bahan ini mudah diperolehi di kedai dan pasaraya di bahagian sos dan kicap.
Pilihan rencah adalah terpulang kepada citarasa anda, apa-apa jenis protien yang anda suka boleh digunakan seperti daging lembu, ayam, udang , sotong dan lain-lain. Antara petua yang saya kongsikan ialah menggunakan air sejuk untuk merendam mee hoon dan bukannya air panas. Walaupun air panas akan melembutkan mee hoon lebih cepat, tetapi air panas akan bertindakbalas dengan kanji dari mee hoon dan boleh menyebabkan mee hoon melekat. Ini menyukarkan proses menggaulkan mee semasa digoreng nanti.
Bahan-bahan
400g Mee Hoon (rendamkan dengan air sejuk 30 minit)
200g daging lembu (dihiris nipis)
200g udang (dibuang kepala dan kulit)
9 ulas bawang putih (ditumbuk)
5 biji cili padi (diketuk)
50g kobis/sawi
3 sudu besar sos tiram
7 sudu besar kicap manis
4 sudu besar kicap pekat
5 sudu besar kicap chair
1 sudu besar lada putih
4 sudu besar minyak bijan
1 sudu kecil gula
Kaedah
- Panaskan sedikit minyak masak dalam kuali. Bila minyak sudah panas, tumiskan bawang putih yang telah ditumbuk.
- Kemudian masukkan cili padi. Bila bawang putih mula berwarna kuning ditepi, masukkan daging dan kuatkan api.
- Masukkan sos tiram, kicap manis, kicap pekat dan Kicap cair.
- Tambah 400ml air ,1 sudu besar lada putih dan 1 sudu kecil gula. Kacau sehingga sebati dan kuatkan api. Tunggu sehingga kuah mendidih.
- Sekarang masukkan mee yang telah direndam dan ditoskan airnya. Gaulkan supaya rata. Mee akan menyerap sebahagian daripada kuah dan mengembang sedikit.
- Jangan gaulakan terlalu banyak untuk elakkan mee hoon hancur.
- Masukkan separuh daripada minyak bijan dahulu, dan gaulkan rata.
- Sekarang masukkan udang. Udang dimasukkan pada akhir proses masak untuk mengelakkan isinya menjadi keras.
- Bila udang sudah berubah warna menjadi merah, masukkan kobis dan gaulkan supaya rata. Untuk memudahkan proses ini, saya gunakan dua sudip seperti ini. Balikkan dan pusingkan mee dengan sudip.
- Tambahkan baki minyak bijan. Ini akan menjadikan mee hoo lebih berkilat dan menarik. Mee sudah siap untuk dihidangkan dan dihiaskan dengan potongan cili padi merah.