Resepi Mee Goreng
Mee goreng satu masakan yang sangat popular dikalangan rakyat Malaysia dan ada berbagai-bagai versi hidangan ini. Ada yang kering, ada yang basah dan bermacam-macam lagi. Di sini saya kongsikan satu resepi mee goreng mudah yang resepi asalnya diolah oleh isteri saya dan menjadi kegemaran keluarga kami.
Saya juga akan berkongsi beberapa tips dan rahsia untuk memasak mee goreng termasuk pentingnya menumis bawang dan cili sehingga betul-betul masak dan garing. Salah satu kesilapan yang sering dilakukan semasa menggoreng mee atau membuat apa-apa sambal ialah tidak memasak bawang dan cili sehingga berwarna gelap. Jika tidak dimasak cukup lama, akan ada rasa cili dan bawang mentah yang kurang enak.
Sebelum menggoreng mee, saya juga syorkan, rendam untuk 1 minit dengan air panas yang baru dimasak, ini akan mengelakkan mee melekat dan menjadi mudah digoreng.
Bahan-bahan untuk Mee Goreng
1kg mee kuning ( 6-8 hidangan )
120g daging lembu (dihiris nipis)
120g undang
120g sotong
1 biji buah tomato di belah 6
100g tauge yang dibuang ekornya
100g sayur sawi dipotong begini
6 sudu besar cili kisar
3 sudu besar sos tomato
4 sudu besar sos tiram
7 sudu besar kicap manis
Bahan kisar
3 biji bawang merah
3 ulas bawang putih
Sedikit air
Keadah
- Kisarkan bahan kisar, bawang dan bawang putih sehingga halus dan ketepikan.
- Panaskan minyak dan tumis bahan kisar dahulu sehingga garing dan mula berwarna kuning.
- Masukkan cili kisar dan tumis sehingga cili garing and berwarna gelap.
- Masukkan daging diikuti sos tiram, kicap manis dan sos tomato.
- Tambah 1/2 sudu kecil garam atau secukup rasa dan 1 sudu kecil gula.
- Masukkan sotong dan udang.
- Sebelum kita masukkan mee kuning, masak air panas dan tuangkan keatas mee. Ini akan melembutkan dan meleraikan mee yang melekat, supaya senang digoreng.
- Rendamkan untuk 1 minit dan toskan.
- Masukkan mee. Gaulkan supaya rencah dan mee sebati.
- Kemudian tambah sayur sawi. Balikkan mee dibahagian bawah kuali ke atas. Untuk memudahkan kerja, saya gunakan 2 sudip.
- Kuatkan api dan masukkan potongan buah tomato.
- Masukkan tauge dan padamkan api. Ini akan mengelakkan tauge menjadi terlalu lembik dan tidak rangup. Gaulkan supaya rata.
- Mee goreng siap untuk dihidangkan.