Kentang Goreng ala McDonald (McD)

Resepi kentang goreng ala McDonalds ( McD )

Ramai orang tertanya-tanya kenapa bila kita goreng kentang di rumah tak garing macam di restoran fast food McD atau KFC? Kali ini saya akan kongsikan rahsia kentang goreng yang garing di luar dan gebu di dalam. Prosesnya agak rumit tetapi hasilnya berbaloi.

Untuk membuat kentang goreng yang sedap kita perlu gunakan kentang yang betul. Kentang yang terbaik untuk french fries ialah kentang Russet-Burbank atau juga dikenali sebagai kentang USA. Kentang ini menjadi pilihan kerana kandungan airnya yang rendah. Kentang tempatan kandungan airnya tinggi dan tidak sesuai untuk digoreng. Kebanyakkan pasaraya tempatan ada menjual kentang jenis ini.

Untuk mendapatkan kentang goreng yang garing di luar tetapi lembut di dalam, kentang perlu digoreng dua kali. Sekali dengan minyak yang sederhana panasnya, dan sekali lagi dengan minyak yang panas supaya bahagian luar kentang menjadi garing. Inilah proses yang dilalui kentang goreng restoran fast food di kilang. Dalam resepi ini saya akan kongsikan langkah-langkah yang perlu diambil untuk menghasilkan kentang goreng seperti di McD!

Bahan-Bahan untuk kentang goreng McD

1kg Kentang Russet-Burbank ( Kentang USA)
Minyak untuk menggoreng
2 sudu besar minyak sapi
Garam secukup rasa
Beg plastik zip-lock ( Jika ada)

Kaedah

  1. Buangkan kulit kentang dan potong kepingan setebal 1cm. Pastikan setiap keping tebalnya sama, walaupun panjangnya berbeza.
  2. Cuci potongan kentang dengan air untuk menghilangkan kanji yang berlebihan dipermukaan kentang. Ini langkah yang penting dan akan mengambil sedikit masa kerana kita perlu cuci beberapa kali sehingga airnya betul-betul jernih seperti ini.
  3. Biarkan kentang kering untuk 5-10 minit, kalau nak lapkan dengan tisu dapur pun boleh.
  4. Langkah seterusnya ialah gorengan kali pertama, untuk resepi ini kita perlu goreng kentang 2 kali. Gunakan minyak yang mencukupi, minima 4cm dalam kuali. Panaskan minyak pada suhu 130C atau dengan api yang perlahan sahaja. Perhatikan minyak tidak berbuih dengan kuat. Tujuan kita ialah untuk memasak bahagian dalam kentang dengan perlahan.
  5. Gaulkan supaya kentang tidak melekat. Minyak akan kelihatn berbuih dengan kuat, ini sebenarnya wap air yang dibebaskan dari dalam kentang dan bukannya minyak yang panas. Gunakan api yang perlahan sahaja untuk gorengan pertama.
  6. Bila kentang dah kelihatan kuning pucat, keluarkan dari minyak. Satu lagi petanda kentang dan boleh dikeluarkan ialah, kepingan-kepingan kentang yang kecil mula kelihatan seperti nak berderai. Kentang sudah masak didalam tetapi belum garing diluar.
  7. Pastikan semua sisa-sisa gorengan dikeluarkan dari minyak. Amalan menapis minyak setelah menggoreng akan membuat minyak kita tahan lama.
  8. Kentang akan kelihatan lembik dan kita kena berhati-hati supaya tidak hancur. Biarkan kentang ini sejuk dan berhenti mengeluarkan wap.
  9. Bila dah sejuk, masukkan kedalam beg plastik. Kemudian simpan dalam freezer untuk sekurang-kurangnya 5 jam dan kalau boleh 24 jam. Proses ini sangat penting supaya saki-baki air dalam kentang akan keluar semasa membeku.
  10. Bila sudah beku, kentang akan menjadi keras dan senang digoreng nanti. Hati-hati semasa memasukkan kentang kedalam beg plastik supaya kepingan kentang tidak patah. Kentang dah siap untuk dibekukan dalam freezer.
  11. Selepas 24 jam, kentang dah beku sepenuhnya dan siap untuk digoreng untuk kali kedua.
  12. Panaskan minyak, pasti kan ada sekurang-kurangnya 4cm minyak masak. Kalau nak lebih sedap boleh tambah 2 sudu besar minyak sapi. Ini akan meningkatkan lagi perisa kentang goreng.
  13. Untuk gorengan kedua , kita perlukan api yang lebih kuat. Kalau ada termometer, panaskan ke 160C.
  14. Masukkan kentang dan gerak-gerakkan supaya tidak melekat dan masak sekata. Bila kita bekukan kentang dalam freezer, satu lapisan kanji dan lemak terbentuk permukaan luar kentang yang akan menghasilkan lapisan luar yang garing dan rangup. Lapisan ini akan terhasil bila kita goreng kali kedua pada suhu yang tinggi. Goreng sehingga berwarna perang keemasan seperti ini. Kita boleh dengar ‘kegaringan’ kentang.
  15. Kentang goreng perlu ditambah garam secukup rasa dengan segera selepas digoreng untuk pastikan garam melekat pada kentang. Berapa banyak garam nak letak terpulang pada citarasa masing-masing.
  16. Kentang goreng kini siap untuk dihidangkan sebagai makanan ringan atau bersama hidangan kegemaran anda seperti steak, chicken chop, burger dan lain-lain.
Untuk langkah-langkah yang lebih jelas sila rujuk video di atas

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *