Jemput-jemput pisang adalah satu makanan kudapan yang sangat mudah disediakan dengan hanya beberapa bahan asas. Juga dikenali sebagai cucur pisang atau cekodok pisang, bergantung kepada di mana kita berada. Walaupun namanya mungkin berbeza tetapi rasanya tetap sedap.
Untuk membuat jemput-jemput pisang yang baik, bahan asasnya perlu dipilih dengan betul. Pisang mestilah pisang yang masak ranum dan bukanlah pisang yang baru masak kerana pisang yang baru masak masih keras dan sukar untuk dilecek. Kandungan gula dalam pisang yang baru masak juga agak rendah dan masih berkanji.
Elakkan menggunakan pisang yang terlalu masak sehingga berwarna hitam kerana kandungan gulanya terlalu tinggi dan mudah hangus bila digoreng.
Bahan-bahan
800g pisang yang masak ranum
135g (1/2 cawan) Tepung Gandum
60g ( 4 sudu besar ) gula
Minyak untuk menggoreng
Secubit garam
Kaedah
- Picit pisang sebelum dikopek untuk melembutkan pisang sebelum dilecek.
- Kopek kulit pisang dan kumpulkan di dalam bekas yang sesui.
- Lecekkan pisang secara kasar sahaja dan tambah gula.
- Lecekkan lagi pisang sehingga gula larut campuran pisang dan gula menjadi cair sedikit.Pastikan pisang tidak dilecek terlalu halus, dan masih ada ketulan-ketulan kecil pisang.
- Tambah tepung dan gaulkan. Cedokkan tepung di bahagain tepi ke tengah. Tujuan kita cuma supaya tepung, gula dan pisang bergabung sahaja.
- Kalau digual terlalu banyak, protein gluten dalam tepung akan banyak terhasil dan ini akan menjadikan jemput-jemput kita liat.
- Ketepikan adunan untuk 5-10 minit supaya tepung dapat meresap air dan adunan menjadi lebih kenyal sebelum menggoreng.
- Panaskan minyak dalam kuali, pastikan ada sekurang-kurangnya ada 1.5 cm minyak.
- Satu petua kalau nak jemput-jemput pisang lebih sedap, taburkan secibit garam kedalam minyak.
- Bila minyak dah panas, masukkan satu sudu adunan jemput-jemput. Gunakan sudu untuk menyukat adunan supaya setiap keping saiznya lebih kurang sama.
- Elakkan menggoreng terlalu banyak sekali, ini akan menurunkun suhu minyak goreng dan menyebabkan jemput-jemput menyerap banyak sangat minyak.
- Sebaiknya goreng dengan api yang sederhana, sebab kalau suhu minyak terlalu tinggi, jemput-jemput mudah hangus disebabkan kandungan gula yang tinggi.
- Gunakan garpu untuk balik-balikkan setiap jemput-jumput supaya masak sekata. Gerak-gerakkan di dalam kuali.
- Bila jemput-jemput sudah berwarna perang , sudah boleh keluarkan dari kuali.
- Satu petua untuk mendapatkan jemput-jemput yang kurang berminyak ialah, sengetkan sedikit kuali seperti ini , dan tekan jemput-jemput di tepi kuali.
- Ketepikan untuk beberapa minit sebelum makan kerana isinya sangat panas.