Resepi Ikan Salmon dengan Sos Lemon Butter
Antara ikan yang paling mudah untuk dimasak secara bakar atau grill ialah ikan salmon kerana ianya masih sedap walaupun terlebih masak disebabkan kandungan lemaknya yang tinggi. Ikan salmon kaya dengan khasiat lemak Omega-3, potassium, selenium dan Vitamin B.
Ikan salmon sangat enak bila dipadankan dengan sos lemon butter yang lemak dan masam. Ramai yang takut untuk membuat sos ini kerana ianya mudah berkeladak sekiranya tidak dibuat dengan teknik yang betul. Rahsianya ialah sos perlu dikacau sentiasa sewaktu memasak dan khususnya sewaktu lemon dicampurkan dengan susu. Gunakan pemukul telur jika ada untuk memastikan gabungan lemon, susu dan butter tidak berkeladak.
Satu lagi petua untuk memasak ikan salmon ialah jangan masak salmon sehingga masak sepenuhnya di dalam kuali, masak sehingga 80-85% sahaja kerana ikan akan terus masak walaupun telah dikeluarkan daripada kuali. Hidangkan dengan segera dan hiaskan dengan daun parsley yang telah dicincang.
Bahan-bahan untuk ikan salmon dan sos lemon butter
300g Ikan Salmon
Minyak zaitun
2 ulas bawang putih dicincang
150ml whipping cream atau susu cair
50-70g mentega
Jus 1 biji lemon
Garam secukup rasa
Serbuk lada putih secukup rasa
Sedikit parsley dicincang
Herba dill kering
Kaedah memasak
- Panaskan sedikit minyak zaitun dalam periuk. Tumiskan 2 ulas bawang putih yang dicincang halus. Pastikan api tidak terlalu kuat supaya bawang putih tidak hangus. Kalau bawang putih terhangus, sos akan pahit.
- Bila bawang putih dan kuning keemasan seperti ini, masukkan 150ml whipping cream atau susu cair. Kacau supaya minyak tumisan dan whipping cream mula larut dan bergabung. Gunakan pemukul telur jika ada.
- Kuatkan api sedikit jika perlu, pukul untuk 1-2 minit. Kemudian masukkan 50g mentega, jika menggunakan susu cair masukkan 70g mentega. Kacau sehingga sebati.
- Kemudian tambah jus dari 1 biji lemon dan kacau sehingga sebati , sos akan mula memekat setelah direnihkan. Pastikan anda kacau semasa merenih supaya sos tidak terlalu panas dan pecah minyak. Ini akan merosakkan sos.
- Bila sos dah mula pekat, tambah garam secukup rasa dan serbuk lada putih secukup rasa.
- Tambahkan 1 sudu kecil parsley. Ketepikan sos dan sediakan ikan salmon untuk dimasak.
- Keringkan salmon dengan tisu dapur dan perapkan dengan garam, lada hitam dan sedikit herba dill kering.
- Tambahkan sedikit minyak zaitun dan lumurkan ke selurh permukaan ikan. Perapkan untuk 5 – 10 minit sebelum dimasak.
- Panaskan sedikit minyak dalam kuali non-stick, kulit salmon sangat mudah melekat pada kuali! Dalam kuali nonstik pun saya akan gunakan sedikit minyak dan ratakan minyak.
- Bila minyak dah panas , perlahan-lahan masukkan ikan dalam kuali, bahagian kulit dibawah. Jika kita masak bahagian isi dahulu , ikan akan lebih mudah melekat pada kuali. Kulit ikan juga akan melindungi daripada terlibih masak atau overcooking.
- Goreng untuk 1-2 minit atau separuh dari bahagian isi dah nampak masak. Balikkan ikan dan masak bahagian isi pula.
- Masak untuk 1-2 minit lagi sehingga berwarna seperti ini. Balikkan 1 kali lagi untuk garingkan bahagian kulit. Sebaiknya salmon di keluarkan sebelum masak 100% kerana ikan akan terus memasak walaupun dah dikeluarkan dari kuali, saya suka masak ikan salmon saya 85% sahaja , dimana bahagian tengah masih berwarna merah jambu.
- Ikan dah siap untuk dihidangkan bersama sos lemon butter dan dihiaskan dengan sedikit parsley segar.