Gulai Lada Hidup

Gulai Lada Hidup ialah sejenis masakan asam pedas yang semakin jarang kita jumpa dewasa ini. Resepi ini saya perolehi dari ibu mertua saya dan sangat mudah disediakan dengan hanya berberapa bahan yang sedia ada di dapur.Nama masakan ini mungkin berbeza dari tempat ke tempat tetapi rasanya tetap sedap.

Rahsia memasak gulai lada hidup ialah, pertamanya: bahan-bahan tumisan sebaiknya ditumbuk dan bukannya dikisar. Walaupun akan mengambil masa yang lebih lama, namun hasilnya berbaloi. Kalau hendak jimat masa, boleh kisar kasar dalam blender dan kemudian tumbuk hingga halus dalam lesung.


Keduanya, bahan tumisan perlu dimasak sehingga garing untuk mengelakkan rasa bawang dan lada yang mentah. Ini kesilapan yang paling kerap dilakukan ketika masak gulai.

Ketiga, semua resepi adalah panduan asas sahaja kerana bahan-bahan yang kita gunakan akan berbeza setiap kali kita memasak, cili tak sama pedas, bawang tak sama manis, asam Jawa pun tak sama masamnya. Oleh itu, penting untuk kita merasa masakan pada setiap peringkat dan imbangkan rasa masam, masin, pedas dan manis.

Kalau nak cuba masakan asam pedas yang sedikit berbeza dari yang biasa boleh cuba resepi ini. Selamat mencuba!

Bahan-Bahan

500g Ikan
2 biji bawang merah besar
5 biji bawang merah kecil
7 ulas bawang putih
1cm halia
1cm kunyit hidup ( kalau tak ada boleh gantikan dengan 1/2 sudu kecil serbuk kunyit)
1/2 sudu kecil belacan (5g)
9 biji cili merah segar
15-20 helai daun kesum
2 sudu kecil garam atau secukup rasa
1 sudu kecil gula
2 sudu kecil pes asam Jawa atau secukup rasa
1/2 sudu kecil serbuk perasa ( jika suka )
2-3 biji cili padi ( untuk lebih pedas )

Kaedah

  1. Potong cili merah dan buangkan sebahagian bijinya jika tidak mahu kuah gulai yang pedas.
  2. Tumbuk bawang merah besar, bawang merah kecil, bawang putih, halia , kunyit hidup, belacan dan cili merah. Boleh juga guna blender tetapi rasanya tidak sama berbanding jika ditumbuk.
  3. Panaskan minyak dalam periuk dan pastikan minyak mencukupi.
  4. Bila minyak sudah panas, masukkan bahan yang telah ditumbuk. Bahan tumisan mesti digoreng sehingga garing untuk memastikan kuah gulai yang baik, terutamanya bawang dan cili. Kalau tak cukup masak, akan ada rasa mentah yang merosakkan kuah gulai.
  5. Bahan tumisan akan kelihatan sedikit gelap bila sudah masak secukupnya. Tambahkan 3 1/2 atau 875ml air dan kacau rata.
  6. Tambah 2 sudu kecil garam atau secukup rasa, 1 sudu kecil gula atau secukup rasa dam 2 sudu kecil pes asam Jawa atau secukup rasa.
  7. Boleh tambah 1/2 sudu kecil serbuk perasa jika anda suka. Terpulang pada selera masing-masing.
  8. Besarkan api sehingga kuah mendidih dan masukkan ikan.
  9. Masukkan daun kesum dan cili padi jika anda suka gulai yang pedas.
  10. Kecilkan api dan renihkan sehingga ikan hampir masak.
  11. Padamkan api kerana ikan akan terus masak walaupun api telah dipadam. Ini akan mengelakkan ikan terlebih masak dan kurang manis isi ikan.
  12. Kuah akan lebih sedap jika dibiarkan 2-3 jam sebelum dihidangkan kerana bahan-bahan lebih mesra.
Untuk langkah-langkah yang lebih jelas boleh rujuk video di atas

4 Ulasan

  1. Terima kasih komgsi resipi guli lada hidup ni… saya masak.. suami ckp sedap… memang dh lama nk mkn gulai mcm ni…. terima kasih sekali lg….

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *