Resepi Daging Goreng Kunyit
Daging goreng kunyit ialah satu masakan yang pada dasarnya sangat mudah tetapi memerlukan teknik yang betul. Kesilapan yang sering dilakukan ialah memasak daging terlalu lama. Ini akan menghasilkan daging yang keras dan liat.
Untuk mengelakkan daging terlalu masak, daging dimasak separuh secara berasiangan dengan bahan-bahan lain sebelum digabungkan pada akhir proses memasak. Pilihan daging juga memainkan peranan yang penting dalam penyediaan daging goreng kunyit, seeloknya gunakan daging batang pinang atau tenderloin kerana ianya sangat lembut dan cepat dimasak.
Sekiranya menggunakan bahagian daging yang lain, pastikan daging dihiris nipis. Salutkan dengan baking soda dan tepung jagung sebagai pelembut daging sebelum digoreng. Teknik ini sering digunakan oleh tukang masak di restoran Cina.
Bahan-Bahan Daging Goreng Kunyit
800g Daging batang pinang lembu ( dihiris nipis)
2 biji bawang holland ( dihiris kasar )
5 ulas bawang putih ( dicincang )
1 inci halia ( dihiris kasar )
3 biji cili merah atau hijau ( dihiris kasar )
5 tangkai kacang panjang ( dipotong kecil 4cm)
½ batang lobak merah ( dipotong kecil 4cm )
4 sudu kecil serbuk kunyit
2 sudu kecil garam
1 sudu kecil gula
½ sudu kecil serbuk perasa ( Jika mahu )
Kaedah Memasak
- Untuk memudahkan daging dihiris nipis, simpan dalam freezer untuk 3 minit sebelum dihiris.
- Perapkan daging dengan 1 sudu kecil garam dan 3 sudu kecil kunyit. Gaulkan rata dan biarkan untuk 30 minit.
- Panaskan sedikit minyak. Bila minyak sudah panas, goreng daging yang telah diperap. Jangan masak kesemua daging sekali tetapi dimasak sedikit-sedikit supaya daging dapat garing.
- Ulang sehingga kesemua daging telah digoreng dan ketepikan dahulu.
- Tambah sedikit lagi minyak untuk menumis. Masukkan bawang holland.
- Bila bawang mula kelihatan layu, masukkan bawang putih cincang, dan halia.
- Masukkan cili potong. Kemudian tambah lobak merah dan tumis untuk beberapa minit. Diikuti kacang panjang.
- Masukkan daging yang telah digoreng tadi dan gaulkan rata.
- Tambah baki 1 sudu kecil kunyit dan ratakan. Masukkan 1 sudu kecil garam atau secukup rasa, 1 sudu kecil gula atau secukup rasa dan 1/2 sudu kecil serbuk perasa jika suka.
- Gaulkan supaya rata untuk 1-2 minit lagi dan daging goreng kunyit sedia untuk dihidangkan.