Burger 100% Homemade

Burger adalah makanan kegemaran di seluruh dunia dan diminati ramai. Di sini saya akan kongsikan resepi saya untuk burger classic 100% daging lembu. Rahsia untuk membuat burger yang sedap ialah menggunakan daging yang sesuai dengan kandungan lemak yang mencukupi. Faktor utama yang memberikan burger perisa yang lazat ialah lemak. Burger yang terbaik akan mengandungi minima 20% lemak, saya suka adunan yang 30% lemak dan 70% daging.

Ramai orang cuba membuat burger dengan membeli daging kisar di pasaraya tetapi hasilnya kurang memuaskan kerana kebanyakkan daging kisar yang dijual adalah dari potongan daging yang rendah kandungan lemaknya. Ini akan menghasilkan burger yang kering dan kurang enak. Untuk mengatasi masalah ini, kita akan gabungkan daging kisar dengan daging tetel atau soup meat yang lebih tunggi kandungan lemaknya.

Penyediaan burger sebenarnya sangat mudah, yang penting burger perlu dimasak dengan api yang kuat supaya garing dan berkerak pada kedua-dua permukaan. Kerak inilah yang memberikan perisa yang sedap pada burger. Kita juga perlu gunakan garam yang secupnya agar perisa daging dapat menyerlah.

Untuk sos burger, saya cuma gabungkan 3 sos asas untuk medapatkan satu sos yang sangat sesuai untuk dipadankan dengan burger. Saya juga letakkan sedikit bawang goreng.

Bahan-bahan (untuk 5 hidangan)

420g daging lembu kisar
180g daging tetel lembu/soup meat
200g daun salad coral
1 biji tomato
300g bawang merah besar dihiris kasar
2 sudu kecil garam
2 sudu kecil lada hitam
1 sudu kecil serbuk bawang
5 keping roti burger
5 keping keju singles
Mentega
Minyak masak

Bahan sos burger

4 sudu besar mayonis
2 sudu besar sos cili
1 sudu kecil mustard kuning

Kaedah

  1. Panaskan minyak dam goreng 300g bawang merah besar sehingga berwarna perang dan ketepikan. Gunakan api yang sederhana perlahan. Jangan tunggu sehingga bawang berwarna perang gelap sebab bawang akan terus masak walaupun setelah dikeluarkan dari kuali.
  2. Cincang halus 180g daging tetel lembu/soup meat. Kalau ada pengisar eletrik atau food processor boleh gunakan atau potong dengan pisau.
  3. Campurkan daging tetel cincang dengan 420g daging lembu kisar dalam bekas yang sesuai. Gaulkan supaya sebati dan rata.
  4. Elakkan gumpalan lemak yang besar di dalam daging, cuba hancurkan supaya senang digaulkan.
  5. Tambah 1 sudu kecil garam, 1 sudu kecil lada hitam yang baru dikisar dan 1 sudu kecil serbuk bawang. Gaulkan lagi.
  6. Buangkan cebisan daging yang liat jika ada.
  7. Tambah 1 sudu kecil garam dan 1 sudu kecil lada hitam. Garam dan lada hitam diletakkan sedikit-sedikit supaya lebih sekata taburannya dalam daging. Garam penting untuk perisa burger yang sedap.
  8. Gaulkan untuk kali terakhir supaya rata.
  9. Bahagikan campuran daging kepada 5 patti burger seberat 120g. Untuk mudah boleh gunakan timbang eletronik.
  10. Bentukkan patti dengan tangan. Bulatkan setiap ketulan dan leperkan sehingga berbentuk burger.
  11. Untuk membuat sos burger, campurkan 4 sudu besar mayonis, 2 sudu besar sos cili dan 1 sudu kecil mustard kuning. Gaulkan supaya rata dan ketepikan.
  12. Belah roti burger dan sapukan mentega pada bahagian dalam roti. Bakar sehingga garing dan kuning keemasan.
  13. Panaskan kuali sehingga berasap sedikit tetapi jangan tambah minyak, gunakan kuali non-stick kalau ada. Goreng patti burger sehingga garing dan berkerak perang pada kedua-dua belah. Tekan-tekankan patti burger sekali-sekala supaya masak dengan sekata.
  14. Bila dah hampir masak, letakkan sekeping keju singles diatas pati supaya mencair dan keluarkan dari kuali.
  15. Bahan-bahan sedia untuk digabungkan, bermula dengan bahagian bawah roti. Lapisan pertama ialah daun salad.
  16. Tambah sedikit sos burger dan sekeping tomato hiris.
  17. Letakkan patti burger dan keju di atas dan tambahkan sedikit bawang goreng diatas keju.
  18. Akhir sekali lengkapkan dengan bahagian atas roti burger.

1 Ulasan

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *