Ayam Masak Kurma

Ayam masak kurma adalah di antara masakan yang terawal saya pelajari daripada ibu saya. Resepi ini adalah sangat mudah dan amat sesuai untuk orang-orang yang baru belajar memasak. Bahan-bahannya dikisar dan digabungkan menjadi pes yang mudah ditumis.

Teknik ini boleh diubahsuai untuk masakan-masakn lain seperti kari yang juga berasaskan rempah. Rahsia untuk memasak kurma yang sedap, sama seperti lain-lain masakan orang timur berasaskan rempah, ialah memastikan rempah dimasak secukupnya dan tidak terlalu awal menambah air dan daging ayam. Kesilapan yang sering dilakukan ialah menumis rempah terlalu singkat masanya. Ini akan menghasilkan rasa rempah dan bawang yang masih mentah dan kurang sedap

Bahan-Bahan

1 kg daging ayam
6 sudu besar rempah kurma.
5 kuntum bunga cengkih
1 batang kayu manis,
1 kuntuk bunga lawang
5 biji buah pelaga.
1 biji buah tomato di belah 4
2 biji kentang
2 biji cili hijau
200ml susu cair
1 sudu kecil serbuk perasa ( jika suka )
Daun ketumbar untuk hiasan

Bahan Kisar

2 biji bawang merah
1/2 inci halia
5 ulas bawang putih

Untuk langkah -langkah yang lebih jelas boleh rujuk video di atas

Kaedah

  1. Kisarkan bahan kisar Bersama 100ml air  sehingga halus dengan blender dan pindahkan ke mangkuk yang sesuai. Tambah rempah kurma dan gaulkan sehingga menjadi pes.
  2. Panaskan sedikit minyak di dalam kuali. Kemudian masukkan 4 sekawan , buah pelaga, cengkih, bunga lawang dan kayu manis. Gunakan api yang sederhana supaya tidak hangus.
  3. Kemudian masukkan pes rempah yang kita sediakan tadi. Tumiskan pes bersama 4 sekawan untuk 5 minit. Pes akan menjadi pekat sedikit.  
  4. Tambahkan sedikit air. Gunakan mangkuk pes tadi supaya baki pes dapat digunakan. Air akan menurunkan suhu kuali supaya pes dapat dimasak lebih lama.
  5. . Gunakan api yang sederhana kuat dan kacau dari masa ke semasa supaya pes rempah tidak hangus.
  6. Setelah pes menjadi kering dan pekat, masukkan ayam. Pastikan pes sudah kering dan pecah minyak kerana ayam perlu digoreng dengan pes. Jika pes masih lembab, suhu kuali tidak akan cukup panas.Tujuan kita sekadar menggaringkan bahagian luar ayam sahaja seperti ini.  Bila ayam digoreng dahulu, perisanya lebih sedap daripada ayam yang direbus sahaja.
  7. Tambah 2 cawan air. Larutkan pes ke dalam air. Masukkan 2 sudu kecil garam atau secukup rasa, kalau suka kurang masin,  kurangkan garam. Gaulkan supaya rata.
  8. Jika suka, boleh tambah 1 sudu kecil serbuk perasa. Masukkan kentang dan cili hijau dan kuatkan api.
  9. Bila sudah mendidih, kecilkan api dan tutupkan kuali. Renihkan untuk 25-30 minit.
  10. Kuah akan semakin pekat. Tambahkan susu cair dan 1/2 cawan air. Masukkan 1 sudu kecil gula sebagai pengimbang rasa. Kacau supaya rata.
  11. Bila kuah mula mendidih lagi, masukkan buah tomato. Renihkan untuk 10 minit lagi dan kalau suka kuah kurma yang lebih pedas, boleh tambah sedikit cili padi. Kurma ayam siap untuk dihidangkan dengan hiasan daun ketumbar.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *