Ayam Masak Kicap

Ayam masak kicap adalah satu masakan ayam yang sangat popular dan ada bermacam-macam cara untuk disediakan. Resepi yang akan saya kongsikan agak berbeza dengan beberapa teknik yang jarang digunakan.

Pertamanya, ayam tidak diperap dengan garam, tetapi dengan pati ayam untuk memberikan perisa ayam yang lebih kuat. Untuk yang kurang gemar menggunakan pati ayam boleh gantikan dengan garam biasa.

Keduanya, saya menggoreng ayam dengan minyak yang sedikit sahaja tetapi menggunakan api yang kuat. Ini bertujuan sekadar untuk menggaringkan permukaan luar ayam sahaja untuk memberikan perisa yang sedap. Ayam akan masak sepenuhnya di dalam kuah kicap nanti. Apa-apa daging ayam, lembu atau kambing yang digoreng akan rasa lebih sedap berbanding dengan dimasak dalam kuah sahaja.

Bahan-Bahan

800g ayam
40g (4 ulas) bawang putih dicincang
3 biji lada merah dihiris
15g (1 sudu kecil) halia dihiris halus
300g bawang merah besar dihiris kasar
2 biji buah tomato dipotong 4
10 ( 1 sudu besar ) serbuk kunyit
1 kiub pati ayam
3 biji buah pelaga
7 kuntum bunga cengkih
1 batang kayu manis
90ml (6 sudu besar) kicap manis
15ml ( 1 sudu besar ) sos cili
Daun sup untuk hiasan

Kaedah

  1. Larutkan kiub pati ayam dalam 2 sudu besar air panas. Pastikan larut sepenuhnya.
  2. Tuangkan ke daging ayam dan tambah serbuk kunyit. Gaulkan supaya rata dan perapkan untuk 10-45 minit.
  3. Panaskan sedikit minyak ( 3 sudu besar ) dalam kuali. Pastikan minyak betul-betul panas dan goreng ayam. Tujuan kita cuma sekadar menggaringkan permukaan luar ayam sahaja dan bukan untuk masak ayam sepenuhnya.
  4. Bila permukaan ayam sudah garing dan berwarna perang keluarkan. Pastikan ayam digoreng sedikit-sedikit, jika terlalu banyak ayam digoreng serentak, permukaan luar ayam sukar untuk garing.
  5. Tambah sedikit lagi minyak untuk menumis dan masukkan bawang.
  6. Bila bawang sudah layu, masukkan bawang putih dan cili merah.
  7. Kemudian tambah cengkih, buah pelaga dan kayu manis dan tumis.
  8. Masukkan halia dan tumis sehingga bawang putih kelihatan menjadi warna kuning.
  9. Tambah 750ml (3 cawan air), 6 sudu besar kicap manis dan 1 sudu besar sos cili.
  10. Masukkan ketulan ayam yang digoreng tadi dan renihkan selama 20 minit.
  11. Masukkan tomato dan renihkan 10 minit lagi atau sehingga kuah menjadi pekat.
  12. Ayam masak kicap siap untuk dihidangkan dan dihiaskan dengan daun sup.
Untuk langkah-langkah yang lebih jelas boleh rujuk video di atas

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *