Air Blue Lemon – Air berbuka puasa

Air Blue Lemon – Air berbuka Puasa

Antara air yang popular untuk berbuka puasa ialah air blue lemon. Untuk resepi kali ini saya akan kongsikan resepi untuk air blue lemon atau lemon biru yang premium dengan perisa lemon yang lain dari yang lain menggunakan satu teknik rahsia. Biasanya air lemon biru dibuat dengan hanya menggunakan jus lemon sahaja ataupun kordial / perisa lemon.

Rahsia untuk membuat air lemon yang sedap ialah kita gunakan parutan kulit lemon atau lemon rind. Kulit lemon kaya dengan minyak perisa lemon, tetapi minyak ini sukar untuk kita extract atau perah. Merebus kulit lemon juga tidak berapa berkesan kerana haba kuat akan merosakkan perisa minyak lemon. Hanya ambil parut berwarna kuning sahaja kerana kulit lemon yang putih sangat pahit. Teknik ini akan memberikan perisa lemon yang luar biasa dan lebih ‘premium’ tetapi akan mengambil masa yang agak lama, tetapi hasilnya amat berbaloi!

Untuk mendapatkan minyak perisa lemon kita akan gunakan gula. Gula akan menarik keluar minyak perisa lemon melalui proses Osmosis. Campuran gula dan kulit lemon akan menghasilkan ‘Oleo Saccharum’ atau ‘Minyak Gula’. Teknik ini telah digunakan oleh tukang masak sejak abad ke 17.

Bahan-bahan

3 biji lemon
200g gula
Sedikit daun pudina
Sedikit pewarna biru
1000ml air

Kaedah

  1. Parutkan kulit dari 3 biji lemon. Pastikan cuma bahagian kuning sahaja yang diparut kerana bahagian putih rasanya sangay pahit.
  2. Tambahkan 200g gula kepada parutan kulit lemon dan lecek-lecekkan. Biarkan bertutup untuk 2-24 jam supaya minyak perisa lemon dapat ditarik keluar dari kulit lemon.
  3. Perahkan jus daripada 3 lemon yang telah diparut kulitnya tadi dan ketepikan dahulu.
  4. Setelah beberapa jam, masukkan 500ml air kedalam periuk dan masukkan campuran gula dan parutan lemon.
  5. Panaskan air dengan api sederhana dan kacau sehingga kesemua gula larut sepenuhnya. Bila gula sudah larut, padamkan api dengan segera supaya perisa lemon tidak rosak akibat suhu yang terlalu tinggi.
  6. Tapiskan keluar parutan kulit lemon dan biarkan sejuk.
  7. Masukkan air gula lemon yang telah disejukkan ke dalam jag yang sesuai. Tambah jus lemon. 500ml atau 2 cawan air sejuk. Sedikit pewarna biru. Jika suka warna biru yang lebih kuat, tambah sedikit lagi perwarna. Kalau tak letak pun boleh. Terpulang pada cita rasa masing-masing.
  8. Masukkan daun pudina, dan hirisan lemon jika mahu sebagai hiasan. Tambahkan ais dan Kacau! Jangan Tak Kacau! Kadungan gula dan jus lemon boleh diubahsuai mengikut cita rasa anda sama ada suka lebih manis atau lebih masam.
  9. Sekarang air lemon biru sedia untuk dihidangkan.
Untuk langkah-langkah yang lebih jelas boleh rujuk video di atas

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *