Resepi Nasi Lemak dengan sambal ikan bilis
Nasi lemak adalah hidangan kegemaran rakyat Malaysia yang paling popular. Setiap orang ada versi nasi lemak yang meraka suka , mungkin resepi keluarga ataupun dari gerai nasi lemak pilihan mereka. Ada bermacam-macam resepi nasi lemak yang berbeza-beza mengikut cara nasinya dimasak, ada yang dimasak seperti biasa dalam periuk nasi dan ada juga yang dikukus.
Nasi lemak juga kini dipadankan dengan bermacam-macam lauk sampingan yang unik seperti lobster atau daging wagyu. Pada kebiasaanya nasi lemak dihidangkan dengan sambal, telur rebus, kacang goreng, ikan bilis goreng dan timun. Inilah yang dikenali sebagai nasi lemak ‘klasik’ dan inilah resepi yang saya belajar dari ibu mentua saya.
Antara rahsia nasi lemak yang sedap ialah sambalnya. Sambal yang baik perlu dimasak cukup lama supaya bawang dan cili cukup garing supaya tidak ada rasa bawang dan cili yang mentah. Sambal yang dimasak dengan betul akan berwarna merah gelap.
Bahan-Bahan untuk Nasi lemak
Nasi Lemak
4 cawan sukatan rice cooker ( 4 x 180ml) beras basmati
3 ulas bawang putih ( dihiris)
3 biji bawang merah kecil ( dihiris)
1 inci halia ( dihiris)
1 batang serai ( dititik)
½ sudu kecil halba
2 helai daun pandan (diikat)
1 cawan (250ml) santan pekat segar atau 1 kotak kecil santan segera
4 ½ cawan ( 1125ml) air
1 sudu teh garam atau secukup rasa
Sambal Ikan Bilis
50g ikan bilis
Bahan-bahan untuk dikisar
3 biji bawang merah besar
6 ulas bawang putih
1 inci halia
10g belacan
230g cili kering kisar
3 sudu besar gula
1 sudu kecil garam atau secukup rasa
½ biji bawang besar dihiris
1 sudu kecil Asam Jawa Xtra Adabi atau asam Jawa kegemaran anda
½ sudu kecil serbuk perisa ( Jika mahu )
Kaedah
- Cuci beras sehingga air menjadi jernih. Bila beras dicuci, kita hilangkan lapisan kanji pada permukaan beras, kanji ini akan menjadi seperti gam bila dimasak. Inilah sebabnya nasi melekat dan tidak berderai.
- Rendam beras untuk 10-20 minit. Beras basmati ada perisa istimewa yang tak ada pada beras jenis lain, tapi perisa ini sensitif pada haba. Bila direndam beras, ia akan menyerap air dan masak lebih cepat. Waktu memasak yang pendek ini akan mengurangkan kesan haba pada beras dan menambah rasa nasi lemak.
- Masukkan bawang kecil, bawang putih, halia, halba, serai dan daun pandan ked alam periuk nasi dan tambah 250ml ( 1 cawan ) santan pekat segar ( kalau tak ada boleh gantikan dengan santan kotak ).
- Kemudian tambah 4 1/2 cawan air, 1 sudu teh garam, kalau suka nasi yang lebih masin boleh tambah 1/2 sudu kecil garam.
- Kacau supaya rata dan masak di dalam periuk nasi seperti biasa.
- Sementara nasi lemak masak kita sediakan sambal ikan bilis. Panaskan minyak dan goreng 50g ikan bilis. Bila dah garing seperti ini angkat dan ketepikan untuk dihidangkan bersama nasi lemak. Simpan minyak goreng ikan bilis untuk menumis sambal.
- Panaskan 100ml minyak goreng ikan bilis dalam kuali. Tumiskan bahan kisar tadi ( bawang merah, bawang putih, halia, belacan)
- Bila sudah kering sedikit tambab cili kering kisar dan gaulkan supaya sebati.
- Sementara kita tunggu bahan tumisan garing, kita rendam 30g ikan bilis dalam air. Ikan bilis akan menyerap air dan akan menjadi lembut. Bila kita masak ikan bilis yang telah direndam ini lama-lama dalam sambal, ianya akan hancur dan sebati dengan kuah sambal. Ini yang memberikan perisa istimewa kepada sambal.
- Rahsia masak sambal ialah kita kena pastikan bawang dan cili kita cukup garing. Jika tidak cukup masak, rasa bawang dan cili yang mentah akan merosakkan rasa sambal kita. Gunakan api yang sederhana dan selalu kacau untuk elakkan hangus. Sambal yang masak betul akan berwarna merah gelap.
- Tambahkan 3 sudu besar gula ,garam secukup rasa, lebih kurang 1 sudu kecil. Hati-hati kerana ikan bilis dah masin!
- Tambah 1/2 biji bawang besar yang telah dihiris dan 1 sudu teh Asam Jawa Xtra Adabi atau Asam jawa kegemaran anda. Gaulkan supaya rata dan sebati
- Jika sambal kelihatan kering, tambah sedikit air untuk elakkan sambal hangus. Nak masak sambal yang sedap akan makan masa, dan perlu bersabar.
- Untuk tambah perisa boleh tambah Knorr pasti sedap dan sedikit lagi gula jika sambal tidak cukup manis. Setiap resepi hanyalah panduan kerana bahan-bahan kita tidak akan serupa setiap kali kita memasak, bawang tak sama manisnya, cili tak sama pedasnya. Oleh itu penting kita sentiasa rasa apa yang kita masak supaya seimbang masin, manis, masam dan pedas.
- Bila sambal dah pekat , berwarna gelap seperti ini dan dah naik minyaknya, sambal ikan bilis kita dah siap.
- Hidangkan nasi lemak, sambal dan dilengkapkan dengan ikan bilis goreng, kacang goreng, telur rebus dan potongan timun.