Ikan Masak Singgang

Ikan masak singgang biasanya dikaitkan dengan makanan untuk ibu-ibu yang baru bersalin tetapi ianya sebenarnya salah satu lauk warisan yang sangat enak. Dengan hanya beberapa bahan asas seperi belacan, asam jawa, kunyit dan bawang singgang hanya perlu direbus sahaja. Ikan masak singgang dengan nasi putih panas memang menjadi masakan tradisi kegemaran keluarga saya. Ada bermacam-macam versi masakan ini bergantung kepada lokasi di mana bahan-bahan yang digunakan akan berbeza. Ada resepi yang menggunakan serai dan ada yang tidak, terpulang kepada selera dan citarasa masing-masing.

Untuk masakan ini gunakan ikan yang segar dan belum disejukbekukan untuk hasil yang terbaik. Ada satu lagi versi singgang yang dikenali sebagai singgang Serani yang hampir serupa tetapi bahan-bahannya ditumis. Jika anda belum pernah rasa ikan masak singgang saya syorkan anda cuba. Pasti tidak menyesal.

Bahan-bahan

400g Ikan segar
5 biji bawang merah kecil
4 ulas bawang putih
2cm hali
2 cm lengkuas
2cm kunyit segar
1 biji cili merah
1/2 sudu kecil belacan
1 sudu besar pes asam Jawa
1 sudu kecil gula
1 sudu kecil garam
1 sudu kecil serbuk perasa (Jika suka)

Kaedah

  1. Didihkan 250ml (2 cawan) air. Sementara air mendidih campurkan 1 sudu besar belacan dan 1 sudu kecil asam jawa. Lecekkan belacan supaya sebati dengan asam jawa. Elakkan belacan berketul dalam campuran.
  2. Tambahkan sedikit air untuk memudahkan belacan dan asam jawa larut.
  3. Kacau perlahan-lahan supaya menjadi pes yang cair. Tuangkan kedalam air yang panas. Campurkan sedikit lagi air untuk melarutkan saki baki belacan dan asam jawa.
  4. Masukkan cili merah, bawang merah kecil, kunyit segar, lengkuas, halia dan bawang putih.
  5. Tambahkan 1 sudu kecil gula, 1 sudu kecil garam, 1/2 sudu kecil serbuk perasa jika suka.
  6. Masukkan Ikan dan kuatkan api.
  7. Bila sudah mendidih, kecilkan api dan renihkan untuk 5-6 minit lagi supaya ikan masak.
  8. Sebelum dihidang rasa kuahnya dan tambahkan gula atau garam secukup rasa jika perlu.
  9. Ikan masak singgang siap untuk dihidangkan bersama nasi putih.
Untuk langkah-langkah yang lebih jelas boleh rujuk video di atas

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *