Roti Jala tanpa Santan

Roti jala adalah satu masakan yang popular dan mudah disediakan dengan cuma beberapa bahan asas. Selalunya dipadankan dengan kari tetapi boleh juga dimakan dengan asam pedas jika anda mahu mencuba.

Adunan roti jala ini tidak mengandungi santan tetapi digantikan dengan susu cair. Adunan roti jala perlu direhatkan untuk 30-60 minit sebelum dikirai untuk hasil yang terbaik kerana jika tidak direhatkan, aduanan akan cair dan sukar dikiraikan dengan baik.

Bahan-bahan

250g (2 cawan) Tepung gandum
500ml (2 cawan) air
125ml (1/2 cawan) susu cair
1 biji telur
1 sudu kecil garam
Pewarna kuning
3 helai daun pandan (diikat)

Keadah

  1. Kesemua bahan-bahan akan diadunkan dalam blender. Masukkan 1 cawan air. Pastikan air dimasukkan dahulu dan bukan tepung supaya adunan mudah dicampur dan disebatikan. Diikuti 1 cawan tepung gandum.
  2. Masukkan 1/2 biji telur. 1/4 cawan susu cair, 1/2 sudu kecil garam dan sedikit pewarna kuning. Ada orang suka guna sedikit kunyit.
  3. Tutupkan blender dan kisar sehingga halus. Menggunakan blender akan memastikan adunan roti jala dapat disebatikan dengan baik.
  4. Ulang untuk baki bahan-bahan. Elakkan mengisar kesemua bahan-bahan terus, kisarkan separuh (50% dahulu) kerana kalau kita kisar kesemua bahan sekali, adunan mungkin kurang halus dan berketul.
  5. Rehatkan adunan untuk 30 minit sehingga 1 jam supaya adunan menjadi lebih likat dan mudah dikirai. Protein gluten yang terbentuk apabila tepung dicampurkan dengan air memerlukan masa untuk membentuk. Jika tidak direhatkan, adunan akan terlalu cair dan sukar dikirai.
  6. Untuk mengirai roti jala gunakan botol bercorong. Tuangkan adunan dan tutupkan.
  7. Gunakan daun pandan yang diikat tadi untuk memberikan bau yang wangi kepada minyak masak sebelum kita sapukan pada kuali.
  8. Elakkan menggunakan terlalu banyak minyak.
  9. Kiraikan roti jala dalam bentuk pusar seperti ini. Mengirai roti perlu dilakukan dalam satu pergerakkan yang tidak tersekat-sekat untuk mendapatkan roti jala bersarang. Ini memerlukan banyak latihan, tetapi tidaklah terlalu sukar.
  10. Bila roti jala mula berwarna sekata seperti ini, sudah boleh diangkat. Dan disusun bertingkat seperti ini.
  11. Resepi ini cukup untuk untuk 6 hidangan. Ada yang suka melipat setiap keping roti jala untuk dihidangkan. Terpulang kepada selera dan citarasa masing-masing. Saya lebih suka disusun bertingkat dan dipotong macam kek.
Untuk langkah-langkah yang lebih jelas boleh rujuk video di atas

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *