Roti Berlauk – Karipap Telur

Roti berlauk ialah satu masakan warisan Johor yamg rupanya seperti karipap yang agak besar berintikan telur, udang kering, bawang dan lada. Rupanya juga hampir serupa dengan Empanada negara Latin yang juga dibuat dengan pastri berinti yang dikelim tepinya.

Resepi ini menggunakan roti canai atau roti prata segera untuk pastri dan memberikan hasil yang rangup dan berlapis-lapis (flaky). Kami dah mencuba bermacam-macam jenama tetapi hasil yang terbaik adalah dari jenama Lazat.

Sebelum dibuat roti berlauk, setiap keping roti canai/prata perlu di lembutkan terlebih dahulu kerana akan patah jika dilipat semasa keras. Juga tidak boleh dibiarkan terlalu lama atau ianya akan terlalu lembut dan susah dibentuk kerana melekit.

Untuk yang suka inti yang lebih pedas boleh tambah, sedikit cili padi.

Bahan-bahan

10 biji telur gred C
5 biji bawang besar merah atau bawang holland (850g) , dicincang.
5 biji cili hijau dihiris.
3 sudu besar ( 30g) udang kering dikisar halus
10g Lada putih Aji-Shio
1 peket roti canai segera jenama Lazat
Minyak untuk menggoreng

Kaedah

  1. Udang kering perlu dikisar dengan menggunakan pengisar kering atau ditumbuk.
  2. Panaskan sedikit minyak dalam kuali.
  3. Bila minyak dah panas, masukkan bawang yang telah dicincang.
  4. Bawang perlu digoreng perlahan-lahan dengan api yang sederhana. Tambahkan sidikit lagi minyak jika perlu.
  5. Tambahkan 1 sudu kecil garam untuk mempercepatkan proses masak bawang. Garam akan menarik keluar air dari bawang supaya cepat masak.
  6. Setelah beberapa minit, bawang akan mula layu, mengecut dan semakin wangi. Teruskan memasak bawang.
  7. Tambah cili hijau dan gaulkan sekata.
  8. Masukkan udang kering yang telah dikisar dan gaulkan rata.
  9. Tambahkan 10 biji telur yang telah dipukul. Gaulkan perlahan-lahan dengan api yang sederhana kecil. Telur perlu dimasak perlahan-lahan supaya perisa undang kering, bawang dan cili dapat diserap.
  10. Bila telur kelihatan separuh masak seperti ini, masukkan serbuk lada putih Aji-Shio dan kacau rata.
  11. Tambah 1/4 sudu kecil garam atau secukup rasa. Hati-hati kerana udang kering pun dah masin.
  12. Bila telur sudah masak sepenuhnya , ketepikan dan biarkan sejuk dahulu.
  13. Untuk membuat 1 keping roti berlauk kita perlukan 1 keping roti canai segera. Biarkan roti canai lembut sedikit selepas dikeluarkan dari freezer, kalau dilipat semasa masih keras, roti akan patah.
  14. Isikan roti dengan inti yang kita sediakan tadi seperti ini, jangan terlalu penuh. Takut susah nak dicatumkan nanti.
  15. Lipatkan dan picit dari bucu kanan ke bucu kiri supaya roti ditutup rapat. Kemudian kelim bahagian tepi. Ulang untuk setiap keping roti berlauk.
  16. Goreng dengan api yang sederhana panas. Pastikan api tidak terlalu kuat supaya roti tidak hangus.
  17. Bila bahagian bawah sudah mula berwana kuning, balikkan.
  18. Balikkan setiap 30 saat supaya masak dengan sekata. Bila dah kuning keemasan seperti ini, roti berlauk dah siap dan boleh dikeluarkan dari kuali untuk dihidangkan.
  19. Alaskan pinggan dengan tisu dapur untuk menyerap minyak yang berlebihan.
  20. Roti berlauk boleh dipotong dua seperti ini untuk lebih mudah dimakan.
Untuk langkah-langkah yang lebih jelas boleh rujuk video di atas

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *