Sotong Goreng Tepung

Salah satu masakan sotong yang paling popular di kalangan rakyat Malaysia ialah sotong goreng tepung dan wajib ada di menu setiap restoran seafood. Sotong goreng yang baik salutan luarnya garing tetapi daging sotong di dalam tetap lembut dan tidak liat.

Resepi yang saya akan kongsikan mungkin akan ada sedikit perbezaan dengan kebanyakan resepi yang lain. Sotong akan disalut dua kali, satu kali dengan salutan kering tepung gandum sahaja dan sekali lagi dengan salutan basah.

Salutan kering akan membantu, salutan basah melekat pada sotong. Salutan basah juga akan dibancuh dengan menggunakan air sejuk dari peti sejuk supaya pembentukan protein gluten daripada tepung akan terhalang. Protein inilah yang akan membuat salutan tidak garing dan liat. Kita juga akan menggunakan beberapa ketul ais untuk memastikan salutan basah kekal sejuk. Teknik ini juga digunakan dalam restoran Jepun dalam penyediaan tempura.

Sotong perlu digoreng dalam minyak yang mencukup dan pada suhu yang cukup tinggi sekurang-kurangnya 160°C. Minyak akan mula kelihatan berasap bila suhu ini dicapai. Perbezaan suhu diantara minyak yang panas dan salutan tepung yang sejuk akan memberikan sotong goreng yang garing. Elakkan menggoreng terlalu banyak sotong sekali gus, goreng sedikit-sedikit supaya suhu minyak tidak jatuh.

Sotong akan masak dengan cepat, oleh itu jangan goreng terlalu lama kerana sotong akan terus masak walaupun telah dikeluarkan dari kuali. Hidangkan sotong goreng tepung dengan segera selepas dimasak.

Bahan-bahan

500g sotong
1 sudu kecil garam

Bahan salutan basah

100g tepung gandum
1 sudu kecil baking powder
1 biji telur
1/2 sudu kecil lada putih Aji-Shio
1/2 sudu kecil garam
250ml ( 1 cawan) air sejuk
Sedikit ais

Bahan salutan kering

50g tepung gandum

Kaedah

  1. Perapkan sotong dengan 1 sudu kecil garam dan ketepikan.
  2. Campurkan tepung, baking powder, telur, lada putih, garam dengan 250ml air.
  3. Gaulkan supaya sebati dengan pemukul telur jika ada.
  4. Kemudian tambah beberapa ketul ais dan ketepikan.
  5. Salutkan sotong yang diperap dengan garam dengan satu lapisan nipis tepung gandum. Ini akan membantu salutan basah melekat pada sotong.
  6. Panaskan minyak dalam kuali. Pastikan ada sekurang-kurangnya 1.5cm minyak didalam kuali dan minyak betul-betul panas.
  7. Celupkan sotong ke dalam bahan salutan basah dan goreng sehingga berwarna kuning keemasan. Jangan goreng terlalu banyak sotong dalam kuali, goreng sedikit-sedikit supaya minyak cukup panas.
  8. Hidangkan dengan segera.
Untuk langkah-langkah yang lebih jelas boleh rujuk video di atas

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *