Resepi sup sayur campur sihat ini tidak menggunakan sebarang rencah protein beraskan daging seperti lembu, ayam atau makanan laut. Cuma sayur-sayuran yang menjadi ‘bintang utama’ . Hidangan ini sesuai disajikan sebagai lauk sampingan bersama nasi putih dan lauk kegemaran anda.
Kadang kala sukar untuk kita beri anak-anak makan sayur sahaja jika tiada perencah, tetapi dengan teknik-teknik dalam resepi ini kita akan cuba meningkatkan perisa semulajadi sayur-sayuran. Pertamanya, kita gunakan cendawan sebagai asas perisa. Saya gunakan cendawan tiram tetapi anda boleh gantikan dengan apa-apa cendawan yang ada suka. Cendawan akan dimasak sehingga garing dan ini akan menjadikan rasa cendawan lebih lazat kerana tidak balas protein dan gula semulajadi cendawan dengan suhu yang tinggi. Cendawan yang telah digoreng rasanya jauh berbeza dengan cendawan yang hanya direbus.
Keduanya, susunan sayuran dimasak juga penting, sayuran yang keras seperti lobak merah dan broccoli akan dimasak dahulu supaya lembut dan perisanya dapat menyerap ke sup. Sayuran yang cepat masak kita masukkan kemudian dan tidak masak untuk jangkamasa yang lama.
Sup sayur campur sihat ini boleh juga dimakan begitu sahaja kalau anda tidak mahu makan nasi dan ingin mengurangkan berat badan. Sup ini lengkap dengan khasiat carbohidrat, lemak , protein , serat dan mengeyangkan. Kalau anda nak cuba satu masakan yang rendah lemak, kaya dengan vitamin dan serat, boleh cuba resepi ini.
Bahan-bahan
200g bawang holland dipotong halus
150g carrot , potong setebal 1/2 cm
2 ulas bawang putih dicincang halus
100g lada benggala
2 biji cili merah dihiris
200g cendawan tiram
250g brocolli
150 sawi
4 biji tomato kecil dipotong 4
1 peket tahu telur dipotong
2 sudu besar kicap cair
1 sudu kecil lada putih Aji-Shio
2 sudu besar sos tiram
1 sudu kecil garam atau secukup rasa
1 peket tahu telur
Kaedah
- Panaskan sedikit minyak dalam periuk.
- Bila minyak dah panas, masukkan cendawan tiram. Goreng sehingga mula berwarna perang. Jangan bimbang kalau ada kerak berwarna perang gelap pada tepi dan permukaan periuk. Kerak ini kita akan larutkan dan ini akan menambahkan perisa sup sayur kita. Ketepikan dahulu cendawan.
- Masukkan bawang holland. Goreng sehingga mula layu dan masukkan carrot.
- Tambahkan sedikit lagi minyak supaya bahan tumisan tidak melekat.
- Kemudian tambah lada benggala dan umis untuk 2-3 minit lagi.
- Masukkan bawang putih cincang dan cili merah.
- Masukkan balik cendawan tiram. Gualkan supaya sekata.
- Tambah 250ml atau 1 cawan air. Kacau dan larutkan kerak-kerak yang masih tertinggal.
- 1500ml atau 6 cawan air lagi dan kuatkan api. Bila dah mendidih masukkan broccoli, sayur sawi dan buah tomato.
- Masukkan 2 sudu besar kicap cair, 1 sudu kecil lada putih Aji-Shio, 2 sudu besar sos tiram , garam 1 sudu kecil garam atau secukup rasa dan akhir sekali tahu telur.