Sup Tulang Daging Lembu

Ada bermacam-macam cara untuk memasak sup tulang. Di sini kongsikan resepi saya yang paling mudah dan tanpa menggunakan rempah serbuk atau sup bunjut. Kita hanya perlukan beberapa bahan yang asas sahaja untuk menyediakan sup and lazat ini.

Rahsia masak sup ialah memastikan bawang digoreng sehingga garing sebelum menambah air dan daging. Jika kita tambah air terlalu awal, bawang tidak akan dapat masak dengan betul kerena suhu masak tidak akan dapat melepasi 100 darjah C selagi masih ada air.

Sup daging dan sup tulang akan memakan masa yang agak lama untuk masak dengan betul, oleh itu kita perlu bersabar jika mahukan hasil yang terbaik.

Bahan-bahan untuk sup tulang

2kg tulang lembu ( tengkuk, rusuk atau ekor )

( Untuk dikisar)
800g bawang merah besar ( 9 biji )
300g bawang putih ( 25 ulas )

( Untuk menumis)
3 ulas bawang merah kecil dihiris nipis
3 ulas bawang putih dihiris nipis
3cm halia dihiris kasar
200ml Minyak masak

( Rempah)
20 biji cengkih
15 biji buah pelaga
4 batang kayu manis
1 bunga lawang
1 daun salam

350g kentang dipotong
600g lobak merah dipotong
1 biji tomato

4 sudu teh garam atau secukup rasa
2 sudu besar lada hitam
1 sudu kecil lada putih Aji-Shio

Kaedah

  1. Kisar bawang merah dan bawang putih dalam blender hingga halus.
  2. Panaskan minyak 200ml dalam periuk yang besar. Tumiskan bawang putih diikuti bawang marah kecil yang dihiris. Tunggu sehingga kelihatan kuning dan masukkan 4 sekawan cengkih, buah pelaga , kayu manis dan bunga lawang.
  3. Masukkan juga halia yang telah dihiris tadi.Pastikan api tidak terlalu besar supaya bahan tumisan tidak hangus.
  4. Bila bawang merah dan bawang putih sudah kelihatan garing dan kuning keemasan masukkan bahan-bahan kisar, bawang merah kecil dan bawang putih.
  5. Untuk menghasilkan sup yang sedap, fasa menumis bahan kisar amat penting. Kita kena pastikan bahan kisar betul-betul garing sebelum kita tambah daging dan air.
  6. Bila bahan tumisan dah garing seperti ini, masukkan daging dan tulang. Gaulkan rata. Pastikan bahan tumisan sebati dengan daging dan tulang. Seeloknya goreng sehingga daging dan tulang kelihatan sedikit masak dibahagian luar dan berwana perang.
  7. Kemudian tambah air lebih kurang 3-4 liter dan kacau rata. Tambah lagi air sehingga kesemua tulang dan daging di bawah paras air. Kacau rata dan besarkan api. Bila dah mendidih, buangkan keladak yang timbul ke atas permukaan air. Keladak ini perlu dibuang kerana akan menjejaskan rasa sup kita. Buangkan perlahan-lahan.Kemudian tambah daun salam. Tutup dan renihkan untuk 1 jam.
  8. Sekarang kita tambah 4 sudu kecil garam atau secukup rasa. 2 sudu besar lada hitam. 1 sudu kecil lada putih Aji-Shio.
  9. Kalau daging masih belum lembut dan kuah sup kurang tambah sedikit lagi air.Masukkan keret. Renihkan selama 15 minit.
  10. Kemudian masukkan kentang dan renihkan lagi 20 minit.Akhir sekali masukkan tomato dan renihkan 5 minit lagi.
  11. Sup tulang kini siap untuk dihidang dan dihiaskan dengan bawang goreng dan daun sup. Gunakan daun sup yang segar jika ada
Untuk langkah-langkah yang lebih jelas boleh rujuk video di atas

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *